“Sampai tak cukup tangan nak layan”, peniaga bersyukur jualan laku lepas jual Menu Rahmah RM5

Oleh KIM SYAZIE

Seorang peniaga bersyukur setelah percubaannya menjual Menu Rahmah berharga RM5 mendatangkan hasil apabila jualannya setiap hari habis terjual.

Menerusi perkongsian Facebook Kamal Hero Malaya yang juga peniaga Nasi Sambal Geprek di Batu Caves, Selangor, dia tidak menyangka berkat Menu Rahmah, jualannya mencanak-canak.

Bahkan katanya, gaji pekerja boleh disediakan lebih awal walaupun belum cukup bulan lagi.

“Hasil menu Rahmah. Mencanak jualannya. Belum cukup bulan lagi tapi gaji pekerja dah boleh kira dan cukup siap-siap. Kalau sebelum ini 1hb baru nak kira. Alhamdulillah.

“Rupanya dalam Rahmah itu ada sedekah. Rahsia Allah yang kita tidak tahu,” katanya.

Peniaga
Gambar ihsan Facebook Kamal Hero Malaya

Tambahnya, pekerja-pekerja sehingga mengadu tidak ‘cukup tangan’ kerana begitu ramai pelanggan yang membeli Menu Rahmah.

“Terima kasih Kerajaan Perpaduan. Pekerja mengadu tak cukup tangan, pelanggan ramai. Sabar. sabar,” ujarnya.

Perkongsiannya itu mendapat perhatian ramai dengan rata-rata pengguna media sosial turut berpendapat konsep Menu Rahmah mampu menarik lebih banyak rezeki untuk peniaga.

Mereka juga memuji kesanggupan peniaga yang berani bersama-sama kerajaan untuk menawarkan makanan pada harga murah untuk orang ramai.

“Konsep Menu Rahmah ni bila murah akan ramai lagi pelanggan datang beli. Alhamdulillah. Rahmah yang mengenyangkan perut ramai manusia di samping menyemai kasih sayang sesama kita,” komen Nazifa Zulkifly

“Dekat sebulan baru pengguna terasa program Menu Rahmah memang boleh jimat wang poket. Satu inisiatif yang bermanfaat dari kerajaan kepada golongan sasar,” komen pula Michael Sarawakian II.

Baca juga: Penghuni flat buat hal lagi, dah tegur banyak kali pun tak jalan