Malaysia Dateline

Sampaikan maklumat jenayah kepada polis walaupun kecil

Polis sentiasa menghargai maklumat yang disampaikan oleh orang ramai mengenai kegiatan jenayah di kawasan mereka, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan.

Oleh itu beliau berharap masyarakat tidak jemu untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau dadah di kawasan mereka walau sekecil manapun kerana ia amat membantu dan berharap kerjasama ini akan berterusan sepanjang masa.

“Sebagaimana Skim Rondaan Sukarela (SRS) walaupun mereka menjalankan rondaan namun sekiranya memerlukan bantuan polis mereka boleh meminta.Sejak dahulu lagi kita sentiasa berkerjasama dengan SRS serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam menangani apa sahaja masalah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvoi Sayangi Malaysiaku-Jom Ronda SRS Peringkat Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) hari ini.

Beliau berkata anggota SRS dilindungi insurans dan mereka boleh membuat tangkapan awam dalam kes tertentu sebelum tangkapan semula dilakukan apabila diserahkan kepada pihak polis.

Sementara itu Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Norwahidah Zinalibdin yang turut hadir berkata seramai 100 anggota SRS/KRT akan berkonvoi menggunakan 32 buah kenderaan ke Bachok, Pasir Puteh dan Machang agar mereka dapat meningkatkan pengetahuan dan bertukar fikiran ke arah SRS yang lebih berkualiti.

“Setakat ini ada sebanyak 472 SRS dan 463 KRT di seluruh Kelantan. Mereka inilah yang berfungsi sebagai ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dalam menangani sebarang masalah khususnya berkaitan jenayah,” katanya.

— BERNAMA