Malaysia Dateline

Sang Politikus Schizo dan PRN Sabah

Rakyat di negara ini baru saja menarik nafas kelegaan setelah mengalami goncangan psikologi dan emosi yang amat dahsyat daripada serangan Covid-19 kini berhadapan semula dengan serangan virus daripada yang di bawa oleh sang politikus daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah.

Ini semua kerana sebuah delirium (kegilaan) yang dikembangkan oleh para pemimpin politik irasional yang inginkan kekuasaan.

Fantasi-fantasi ingin membolot kekayaan dan kenikmatan berkuasa melalui PRN telah melacurkan akal sihat dan menggiring cara berfikir singkat ke arah kemenangan tanpa moral, kegilaan untuk berkuasa sehingga meminggirkan ancaman serangan Covid-19 ke atas rakyat.

Sang-sang politikus ini mencampakkan jauh-jauh kematangan berfikir, mementingkan rakyat apa lagi mengedepankan kepentingan negara daripada kepentingan diri dan parti.

Fantasi-fantasi gila kuasa ini adalah tentang kemuliaan dan keagungan diri, hayat kerajaan memerintah sehingga sanggup mengorbankan nyawa rakyat jelata dan menyusahkan marhein.

Bagi saya inilah sebuah perang politik yang tujuan dan matlamatnya telah terputus daripada realiti – keadaan negara yang belum bebas Covid-19 dan telah mengetahui keadaan sensitif di Sabah – dan mereka telah menghambakan diri kepada kegilaan fantasi berkuasa.

Dalam menggambarkan kekejian ini, saya menggunakan metafora sisi psikoanalisis memaparkannya sebagai sang politikus skizofrenik – atau sang politikus schizo.

Skizofrenia adalah suatu kecenderungan psikis pada diri seseorang, di mana dia hidup dalam dunia yang secara psikik terputus daripada dunia realiti di luar diri atau kelompoknya. Mereka ini kekadang hidup dalam dunia fantasi mereka sendiri. Inilah yang berlaku PRN di Sabah, lupa akan realiti ancaman Covid-19.

Kemudian tersiar bermacam-macam alasan ditaburkan oleh sang politikus schizo. Walaupun ada yang meminta maaf tetapi terdapat juga yang menyalahkan rakyat tanpa menilai diri mereka dan kelompok mereka yang bertanggungjawab.

Dalam hal ini ingin saya memetik kata-kata seorang penulis bernama R.D. Laing dalam bukunya The Divided Self (1969) menggambarkan skizofrenia sebagai individu yang psikiknya mempunyai konsep diri dan keperibadian berbagi. Mereka sebagai individu `divided self’ dan keperibadian yang ‘split personality’. Sang politikus seperti ini hidup dalam dua dunia sekaligus.

Dalam kehidupan politik mereka menampakkan ketidakselarasan pada tingkah laku dan ucapan, misalnya setelah ternyata membuat kesalahan ada sang politikus yang menafikan dan memberikan alasan-alasan lain supaya terlepas daripada kesalahan. Begitu juga antara tingkah laku di ruang publik dan ruang peribadi tidak sama. Ini juga adalah keperibadian sang munafik.

Keperibadian jamak ini berlaku kepada tingkat simbolik atau bahasa. Dalam hubungan ini seorang ahli psikoanalisis Peranchis, Jaqques Lacan berkata dalam bukunya Language of the Self bahawa skizofrenia adalah seorang yang mengalami keterputusan rantai pertandaan.

Maksudnya di sini ialah diri seorang sang politikus itu terputus dari dunia simbol dan dunia realiti yang dipaparkan daripada ketidakselasaran makna.

Bayangkan telah jelas bahawa sang politikus yang ke Sabah yang menbawa virus ke Semenanjung tetapi terdapat sang politikus schizo (yang terputus dari dunia realiti) masih menyalah rakyat sebagai pembawa virus. Misalnya warga asing pembawa virus dan merebak virus Covid-19 di Semenanjung kerana rakyat tidak mematuhi SOP padahal telah jelas dalam kes-kes di Kedah bahawa ahli politik yang pembawa virus itu balik dari Sabah dan beberapa sang politikus telah dikurantinkan.

Dalam konteks ini, sang politikus ini mencetuskan schizowar, perang menentang realiti kerana mereka telah terputus daripada rakyat dan realiti dan tidak layak menjawat jawatan menteri. Mereka tidak mahir dalam menjawab soalan dan tiada kearifan dalam bagaimana berhadapan dengan orang awam apabila berhadapan pengurusan krisis.

Mungkin mereka tidak sedar, sebenarnya schizowar ini ialah berperang realiti dengan rakyat dalam penyebaran virus Covid-19.

Schizowar ini adalah perang yang di dalamnya terdapat kalangan pemimpin politik yang skizofrenik, memutarbelitkan realiti supaya memihak kepada mereka. Di samping itu schizo-war adalah perang (tidak sepertinya perang bersenjata) politik di mana pemimpinnya hidup dalam dunia fantasi politik liar (ingin kuasa dalam cara sekalipun walaupun boleh mengorbankan nyawa rakyat).

Kegilaan fikiran politik ini adalah suatu delirium yang mengerikan, Ia dapat dilihat dalam peningkatan kes Covid-19 sehingga mencapai ke angka 432 pada 5 Oktober lepas. Suatu jumlah paling tinggi direkodkan di negara ini menjadikan jumlah kumulatif keseluruhan penularan wabak itu sebanyak 12,813 kes dengan kebolehjangkitan meningkat kepada 2,336 kes.

Di tangan para pemimpin politik skizo ini, tercipta sebuah dunia simulasi, contoh berapa banyak peratusan undi yang mereka akan menangi dan berapa banyak undi yang akan kalah. Mereka menghasilkan apa yang dinamakan data politik. Maka akan tertubuhlah badan-badan kajian pilihan raya yang akan membuat simulasi-simulasi tentang andaian dan anggaran peratusan yang dimenangi.

Maka campur aduk antara realiti dan citra melahirkan binari antara yang asli/palsu, realiti/fantasi, kenyataan/fatamorgana, citra/realiti, yang membawa dunia politik ke arah “kerajaan pelitup” atau kerajana topeng-topeng di dalam dunia politik schizo.
————————-
Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).