Malaysia Dateline

Sangat sihat tetapi jururawat Portugal maut selepas disuntik vaksin Covid-19

Menggemparkan. Seorang pembantu pembedahan pediatrik di Porto yang dilaporkan ‘sangat sihat’ ketika menerima vaksin Covid-19 Pfizer kemudiannya mati mengejut.

Mangsa Sonia Azevedo, 41, ibu kepada dua anak bekerja sebagai pembantu pembedahan di Instituto Portugues de Oncologia (IPO), sebuah hospital onkologi di Porto, lapor Agensi memetik RT.COM.

Azevedo antara 538 petugas kesihatan di IPO yang menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech, 30 Disember lalu.

Dia sempat makan malam bersama keluarga pada malam tahun baharu, dan ditemui mati di tempat tidur keesokan hari.

“Saya ingin tahu punca kematian anak perempuan saya,” kata ayahnya Abilio kepada tabloid Portugis, Orreio da Manha.

Dia menggambarkan mendiang sebagai ‘baik dan periang’ serta ‘tidak pernah minum alkohol, makan sesuatu istimewa atau pelik’.

Azevedo bangga menjadi antara yang terawal menerima vaksin itu, dia menukar profil Facebooknya untuk menggambarkannya.

“Sudah menerima vaksin Covid-19,” kapsyen swafoto mendiang dengan pelitup muka.

Anak perempuan mendiang, Vania Figueiredo, berkata dia tidak tahu mengenai kejadian itu dengan ia berlaku dengan pantas dan tanpa penjelasan.

“Saya tidak nampak perubahan pada ibu. Dia baik sahaja. Dia menyuarakan rasa sakit di tempat suntikan, tetapi itu normal,” katanya.

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan di Portugal sedang menyiasat kematian mengejut tersebut.

IPO dalam kenyataannya mengesahkan kematian Azevedo dan mengucapkan ‘takziah’ kepada keluarga dan rakan mendiang.

“Penjelasan mengenai punca kematian akan dibuat mengikuti prosedur biasa bagi keadaan seperti ini,” katanya.

Vaksin Pfizer-BioNTech bagi Covid-19 ketika ini adalah satu-satunya yang diberi kebenaran penggunaan kecemasan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ia sekali gus membuka jalan bagi penggunaan secara meluas oleh agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan kesihatan transnasional lain.

Portugal mempunyai hampir 10 juta penduduk, setakat ini melaporkan lebih 436,000 kes Covid-19 iaitu di tangga ke-34 dunia dengan lebih 7,200 kematian akibat virus dari Wuhan itu.