Tular baru-baru ini apabila kucing dari Malaysia dinobatkan sebagai juara dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa yang diadakan di Oslo, Norway.
Pasangan suami isteri Shaharudin Shuib dan Rooaida Mohd Darus sanggup berbelanja hampir RM30,000 demi bawa dua kucing kesayangan masuk pertandingan di luar negara.
Rooaida memaklumkan belanja tersebut adalah termasuk tiket penerbangan untuk dua kucingnya, Baby dan Miko.
Menolak dakwaan ramai, baginya Baby bukan kucing jalanan, tetapi dikategorikan sebagai kucing rumah bulu panjang lapor Harian Metro.
“Saya mendapat Baby daripada seorang kenalan sembilan tahun lalu dan terus memeliharanya hingga kini.
“Saya meletakkan nama Baby adalah secara sepontan selepas terpikat dengan kecomelan wajahnya ketika kali pertama menatapnya,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Masuk pertandingan seawal usia 6 bulan
Jelasnya, Baby sudah menyertai pertanding sejak usia enam bulan dan kerap menyertai pertanding yang diadakan di negara ini.
“Setakat ini lebih 100 kemenangan diraih Baby dan pencapaian tertingginya ialah juara dalam Pertunjukan Kucing Antarabangsa di Oslo, Norway, baru-baru ini.
“Baby mempunyai tuah yang baik kerana merangkul gelaran juara dalam pertandingan peringkat antarabangsa kali pertama disertainya dan tentunya kemenangan itu sesuatu tidak dijangka,” tambahnya.
Dalam pada itu, dia berkongsi bahawa penjagaan rapi dilakukan termasuk membeli lima jenis syampu dan makanan berkualiti tinggi untuk menjaga kualiti bulu Baby.
Rooaida juga menjelaskan bahawa jika ada peluang pihak luar berminat akan Baby maka duit yang dapat itu akan digunakan bagi menyertai lebih pertandingan.
“Jika Baby dapat peluang pekerjaan, maka pendapatan ini disimpan untuk menyertai pertandingan peringkat antarabangsa tahun depan,” katanya.