Sanggup tukar kad sim sebab tak mahu ibu ‘contact’, wanita terkilan diabai 12 orang anak

Oleh MAISARAH AISYA

Pengorbanan seorang ibu tiada tandingannya, apatah lagi terpaksa menahan sakit ketika melahirkan anak, bayangkan lahirkan anak 12 orang yang akhirnya abaikan mak sendiri.

Ibarat pepatah, seorang ibu mampu menjaga 10 anak namun seorang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu.

Kes menyedihkan ini dikongsi oleh pengguna Facebook yang juga pemandu p-hailing, Mohd Nazryn.

Pemuda itu kongsi kisah pelanggan yang dikatakan kesal dengan tindakan anak-anak kerana sering mengabaikannya.

“Makcik ni seorang ibu tunggal, ada 12 orang anak, semuanya sudah pun berumah tangga dan masing-masing dengan kehidupan mereka.

“Kebanyakan anak-anaknya semua jauh, tinggallah mak cik dengan cucu-cucunya yang terdekat sahaja.

“Dalam 12 orang anak, ada tiga orang anaknya yang tidak lagi mahu menegur dengannya. Ibarat tiga orang anak itu menganggap ibu mereka sudah tidak wujud lagi,” katanya.

Malah Nazryn memaklumkan bahawa ada anak-anak wanita tersebut sanggup menukar sim kad supaya tidak dihubungi ibu mereka.

“Bukan mak cik mahu minta duit dengan mereka, mak cik cuma mahu dengar khabar mereka sahaja.

“Sampaikan mereka tukar sim kad supaya makcik tidak dapat hubungi mereka lagi.

“Biar pun mereka buat makcik begitu, mak cik sentiasa doakan yang terbaik untuk semua anak-anak mak cik.

“Semoga suatu hari nanti mak cik dapat berkumpul semula dengan mereka,” luah wanita itu kepada lelaki tersebut.

Kadangkala kita tidak boleh hanya mendengar kenyataan daripada satu pihak sahaja, mungkin mak cik itu juga ada kesalahan sendiri namun diharapkan pada akhirnya mereka berbaik semula.

Baca juga: ‘Syafiq Kyle’ akhirnya bernikah, gadis sekampung lega penantian sejak 2017 berakhir