Malaysia Dateline

Sanggupkah Pas berkongsi kuasa dengan Umno di Terengganu, Kelantan?

Keputusan penangguhan sementara urusan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pimpinan kerajaan baru Tan Sri Muhyiddin Yassin amatlah tidak wajar.

Rakyat di peringkat akar umbi yang tidak bersalah akan tergantung tanpa pendapatan dan tugas mereka. Ini adalah semata-mata atas motif politik sempit menghukum orang bawahan.

Bagaimanapun marilah kita lihat bagaimana pembahagian semula ketua dan ahli jawatankuasa MPKK baru akan diagihkan.

Kalau di Terengganu, negeri Kerajaan Pas, adakah AJK baru MPKK akan diberi sama adil dengan rakan baru mereka dari Umno dan Bersatu-kumpulan Muhyiddin dan Azmin (PKR)?

Ini adalah ujian getir Perikatan Nasional dalam semangat kerjasama dan setia kawan mereka.

Melihat contoh apa yang telah terjadi di peringkat tertinggi negeri-negeri seperti Johor dan Perak, semua pimpinan tertinggi negeri seperti Menteri Besar telah beralih kepada Umno di mana pimpinan Menteri Besar dari Bersatu kedua-dua telah dipecat.

Kalau Menteri Besar pun telah dibuang apakah pula nasib ahli biasa Bersatu dan bekas PKR di peringkat akar umbi MPKK?
Kita tunggu dan lihatlah dengan penuh debaran nasib yang menunggu mereka dalam Perikatan Nasional ini.

Dalam proses membentuk Kabinet Persekutuan pula Pas kelihatan berhajat menuntut beberapa kerusi Menteri Kanan penuh

Umno pula telah cepat menuntut beberapa kerusi Exco Negeri seperti di Terengganu dan Kelantan. Telah kedengaran penolakan cadangan tersebut oleh pimpinan Pas untuk melepaskan kerusi Exco Negeri.

Ketua Pemuda Umno Asraff Wajdi pula hari ini telah mendesak dengan keras Pas memberi kerusi Exco Terengganu dan Kelantan kepada Umno untuk mereka di beri lantikan Kabinet.

Kita menggesa Pas membuktikan setia kawan kepada Umno.

Persoalannya, adakah Pas bersedia berkongsi kuasa dengan Umno di negeri? Adakah Umno bersedia memberi lantikan Kementerian yang kanan kepada Pas.

Ini baru permulaan sengketa mereka di peringkat awal.

Di Terengganu dipercayai Umno akan menuntut kerusi Exco satu pertiga mengikut bilangan 10 kerusi DUN diduduki berbanding 22 oleh Pas.

Ketua Perhubungan Umno Terengganu dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said sepatutnya diberi jawatan Exco kanan menjaga Hal eEhwal Tanah dan Pembangunan. Barisan pimpinan Umno jauh lebih berpengalaman dari PAS.

Seorang lagi mantan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif juga mengikut sumber Umno sepatutnya diberi portfolio Exco kanan memandangkan pengalaman beliau.

Begitulah seterusnya jawatan MPKK yang akan di tuntut oleh Umno untuk berkongsi kuasa cara bermakna di peringkat akar umbi Negeri jika Pas diberi jawatan Menteri dan Timbalan Menteri.

Kita tunggu dan lihat jika mereka betul-betul ada semangat “muafakat” sebenarnya .

Adakah Perikatan Nasional hari ini sama dengan semangat Parti Perikatan asal diketuai Umno pada tahun 1960’an dahulu di bawah Almarhum Tunku Abdul Rahman yang berkorban untuk rakyat?

Simbol Parti Perikatan 1960’an dahulu adalah kapal layar sebagai simbol perjuangan untuk nelayan miskin yang perlu pembelaan.

Perikatan Nasional hingga hari ini masih tidak ada simbol kerana mereka belum dapat berbincang dan bersetuju hala tuju bersama.

Ini amat berbahaya dan aneh apabila beberapa pihak setuju tidur satu bantal tetapi mimpinya lain-lain.

Mereka terlalu sibuk berebut kuasa sesama sendiri dan juga sedang membahagi hasil rompakan memasuki kerajaan melalui pintu belakang.

Rompakan melalui pintu belakang di utamakan, hala tuju untuk rakyat serta simbol Perikatan Nasional di lupakan.