Seorang lelaki tidak pernah menyangka, masalah rumah tangga yang dihadapi bersama isteri rupanya berpunca daripada seorang insan bergelar kawan baik.
Berkongsi rasa simpati kerana kawan baiknya itu bercerai, si suami dikenali sebagai Ramly itu terkejut beruk apabila ‘duda’ tersebut mula mencuba untuk mendekati isterinya.
Kecewa apabila isterinya sendiri enggan bekerjasama, berikut perkongsian Ramly yang mula hilang arah dalam mencari jalan untuk menyelamatkan rumah tangganya.
“Saya tinggal di Selatan Malaysia. Berjiran dengan kawan lama yang mula dikenali sebelum saya berkahwin. Kawan lelaki ini saya namakan sebagai Timun. Tiga tahun lepas, kawan saya ini hadapi masalah rumah tangga apabila isterinya, Za menuntut cerai tetapi saya tidak tahu atas sebab apa.
“Timun tak pernah bercerita mengenai masalah rumah tangganya hingga sekarang. Dia tak pernah berkongsi sehinggalah suatu hari, saya terbuka aplikasi Whatsapp di telefon bimbit isteri. Rupanya, Timun dan Za berhubung dengan isteri saya mengenai masalah rumah tangga mereka.
“Apa yang dikesalkan, Timun seharusnya menghubungi saya, bukan isteri. Tetapi saya mengalah. Saya anggap isteri berusaha untuk membantu perbaiki hubungan rumah tangga antara Timun dan Za. Tetapi gerak hati meminta untuk tidak terlalu percaya. Pada satu hari, saya terlihat telefon isteri sewaktu dia tidur.
“Saya lihat Timun berhubung dengan isteri sehingga larut malam. Saya juga lihat ada beberapa panggilan telefon. Kalau tak silap saya, hampir jam 1 pagi. Kebetulan saya ada urusan luar pejabat pada hari tersebut. Selesai sahaja urusan, saya pulang ke rumah tanpa memberitahu isteri terlebih dahulu.
“Esoknya, saya bertanya kepada isteri kenapa layan pesanan dan panggilan Timun. Katanya tidak mengapa, bukan ada perasaan pun. Katanya, anggaplah keluarga Timun macam keluarga kita. Alasannya ketika itu, Timun perlukan seseorang untuk bercakap. Terus saya bertanya, kenapa Timun tak mahu hubungi saya.
“Jelas isteri waktu itu, Timun segan nak mula dan tak selesa bercerita dengan saya, kawan dia sendiri. Saya tanyalah lagi, kenapa Timun segan dengan lelaki tetapi tidak kepada perempuan? Sehingga sekarang tiada jawapan untuk itu. Setelah kejadian tersebut, suasana reda seketika. Tiada lagi pesanan Whatsapp dan panggilan.
“Masa itu, saya periksa di dalam rekod panggilan dan aplikasi Whatsapp. Rupanya sangkaan saya meleset. Kantoi apabila saya pulang rumah pada pukul 1 petang, segera saya semak telefon isteri. Banyak pesanan dihantar sejak pagi dan satu panggilan dari Timun. Isteri saya tak sempat padam perbualan itu.
“Mungkin tak sangka saya akan pulang awal pada hari tersebut. Betullah, saya lihat tiada perbualan wasap menjurus ke arah kecurangan. Tetapi, di antara seorang lelaki dan wanita tidak sepatutnya mereka berbual. Tidak mustahil terpesong juga. Kami berperang besar, tetapi saya masih berfikir secara waras.
“Keadaan tenang kembali. Tiada pesanan atau panggilan. Mungkin isteri tidak jujur kepada saya, terpulanglah. Saya keluar cari rezeki, tinggalkan dia di rumah yang lengkap untuk kehidupan kami sekeluarga. Pada akhir tahun 2022, sekali lagi isteri saya tertangkap. Kali ini saya baca pesanan Whatsapp dari Timun.
“Perbualan Timun seolah-olah nak mengajak kepada perbuatan kurang elok. Timun ada bercakap berkenaan perempuan. Timun kata pada isteri saya, dia lebih senang ada skandal daripada mencari isteri. Di akhir perbualan mereka, Timun bertanya dan ayatnya lebih kurang macam ini, ‘kau tak nak ikut macam aku ke?.
“Patut ke Timun bertanya soalan itu kepada isteri saya? Walaupun saya lihat tiada lagi jawapan daripada isteri, tetapi dapat rasa sesuatu yang kurang menyenangkan. Apakah tujuan Timun menghubungi isteri di waktu-waktu saya keluar bekerja? Jika benar jujur, kenapa tidak tunggu apabila saya ada di rumah.
“Lebih mudah lagi, datang sahaja berjumpa waktu saya ada di rumah. Apakah yang patut saya lakukan kepada Timun? Memutuskan silaturahim itu berdosa. Akan tetapi, rumah tangga perlu juga saya jaga. Pelik, isteri tak suka apbila saya berbincang hal ini. Sebaliknya dia cuma berkata, tidak apa-apa. Jangan cemburu buta.
“Sehingga sekarang, Timun nampaknya semakin jauh daripada saya. Mungkin Timun tahu aktivitinya telah diketahui selepas mendapat maklumat daripada isteri saya.” Kesal pengadu yang menggelarkan dirinya Burger Ramly menerusi satu hantaran di laman luahan atas talian.
Baca juga: Risau terbaca komen pedas, Aina Abdul minta ibu berhenti tengok Youtube