Santuari ikan di hulu Sungai Kenaboi, Jelebu

Santuari ikan di hulu Sungai Kenaboi, Jelebu

Kerajaan Negeri akan mewujudkan sebuah santuari ikan air tawar (pelbagai spesies) dalam Taman Negeri Kenaboi di hulu Sungai Kenaboi, di sini melalui jalinan kerjasama antara Jabatan Perikanan dan Jabatan Perhutanan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Bakri Sawir berkata konsep santuari ikan ini sangat baik dari segi eko-pelancongan kerana ia turut memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat melalui kedatangan pengunjung, di samping menjamin ikan tidak pupus di sungai ini.

“Mengikut perancangan, projek santuari ikan air tawar itu akan dimulakan tahun depan. Santuari ikan itu diwujudkan adalah untuk kelangsungan spesies ikan berkenaan daripada terus pupus.

“Apabila wujudnya santuari ini kita harap kerjasama penduduk setempat termasuk masyarakat Orang Asli supaya bersama-sama menjaga kawasan tersebut bagi memastikan ia tidak dimasuki sewenang-wenangnya pelawat tanpa permit. Ini kerana keupayaan kami terhad kerana kedudukan lokasi dan jumlah anggota tidak mencukupi dan ia agak sukar mengekang sepenuhnya pencerobohan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Pelepasan Benih Ikan di Sungai Kenaboi berdekatan Kem Bukit Perjuangan, Kampung Chalin di sini anjuran Jabatan Perikanan Negeri Sembilan.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan) Datuk Dr Bah Piyan Tan dan Pengarah Perikanan Negeri Sembilan Halimi Abu Hanip.

Sebanyak 1,008 ekor ikan kelah, 8,000 sebarau dan 12,000 lampam sungai yang kesemuanya berjumlah 21,008 ekor dan bernilai RM 21,200 dilepaskan di sungai tersebut.

Selain itu, Bakri berkata satu kawasan konservasi akan turut diwujudkan Sungai Kenaboi yang berperanan memastikan spesies asal ikan yang mendiami kawasan berkenaan kekal menghuni dan menjadi daya penarik pengunjung ke situ.

Katanya aktiviti pemuliharaan dan pemerkayaan sumber asli Sungai Kenaboi di sini memfokuskan kepada ikan kelah memandangkan Kenaboi merupakan satu-satunya sungai di Negeri Sembilan yang wujud spesies kelah bernilai tinggi ini secara semulajadi kerana ia cabang utama Sungai Triang yang mengalir ke Sungai Pahang.

“Ikan kelah mendapat permintaan yang cukup tinggi dengan harganya mencecah hingga RM150 sekilogram. Bagaimana pun, ikan asli warisan ini (ikan kelah) semakin sukar ditemui ekoran pembangunan, pencemaran dan aktiviti penangkapan ikan yang tidak terkawal,” katanya.

Mengenai program pelepasan benih ikan, Bakri berkata Jabatan Perikanan Negeri Sembilan sangat aktif menganjurkan program ini di mana pada tahun ini sudah 20 program dibuat di segenap daerah dengan lebih 800,00 ekor yang nilainya mencecah lebih RM 180,000 dilepaskan ke perairan umum.

Katanya untuk ikan kelah sahaja, sudah lebih 6,000 ekor dilepaskan sejak 2014, dengan anggaran nilai lebih RM70,000.

Sementara itu, Bah Piyan berharap agar ikan-ikan ini tidak diganggu atau ditangkap.

Katanya kerjasama semua penduduk kampung amat diperlukan untuk menjamin ikan asli khususnya kelah terus wujud di sungai ini.

“Pemimpin setempat terutama Tok Batin dan penduduk sekitar turut hadir untuk menyahut kempen kesedaran ini agar dapat menjalankan tanggungjawab bersama dalam memelihara kelestarian ekosistem terindah Sungai Kenaboi. Jika terdapat sebarang perbuatan menangkap ikan yang dilarang seperti menuba dan menggunakan alat renjatan elektrik, penduduk digesa melapor kepada Jabatan Perikanan untuk mengambil tindakan segera.

“Kesalahan tersebut boleh dihukum di bawah Kaedah-Kaedah Perikanan (Sungai) 1976 Negeri Sembilan iaitu denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

— BERNAMA