Malaysia Dateline

Santuni pintu ke pintu menangi hati pengundi atas pagar

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberitahu Pakatan Harapan (PH) terus memaksimumkan pendekatan bersemuka dari rumah ke rumah dalam memenangi 12 peratus pengundi atas pagar.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, hal berkaitan pencapaian dan kejayaan kerajaan PH akan disampaikan kepada golongan terbabit dalam kunjungan rumah ke rumah itu.

“12 peratus itu satu angka munasabah dan sangat pentung. Pakatan Harapan akan berjumpa dengan mereka dalam tempoh kempen berbaki dua hari ini.

“Saya sendiri menyantuni pintu ke pintu. Sentuhan kepada orang kampung amat perlu bagi menyampaikan cerita-cerita kejayaan PH,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pusat Media PRK Tanjung Piai di Terminal Sejahtera, Stadium Mini Pontian hari ini.

Sebahagian wartawan yang membuat liputan sepanjang kempen PRK Tanjung Piai bergambar bersama Salahuddin Ayub.

Salahuddin yang juga anak kelahiran Tanjung Piai berkata, beliau yakin dengan penerimaan pengundi kepada PH susulan kunjungan pemimpin dengan kemuncaknya, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam.

“Saya menjadi semakin yakin melalui sentuhan kepimpinan dan semalam dikunjungi Dr Mahathir dan sebelum ini Anwar Ibrahim serta kumpulan seniman Paksi,” ujarnya.

Beliau turut menambah budaya politik masyarakat tempatan masih menyantuni satu sama lain walaupun berlainan fahaman politik.

“Kita orang Johor ini setajam mana perbezaan politik kita masih menyantuni satu sama lain,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, Salahuddin turut mengingatkan agar jentera PH terus menggandakan kempen memujuk pengundi.

“Jangan terlalu yakin. Jentera mesti lipatgandakan usaha. Lebih baik kita bekerja kuat dalam tempoh kempen yang berbaki ini,” ujarnya lagi.