Malaysia Dateline

Santuni warga kampung kewajiban wakil rakyat, kata Adun Mahkota

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mahkota, Muhammad Said Jonit menyifatkan santunan kepada warga kampung adalah suatu kewajiban bagi wakil rakyat.

Program yang diberi nama ‘Jelajah Warong Mahkota’ atas usaha beliau hari ini telah menyantuni warga Kampung Padang Tembak.

Program yang membabitkan pelbagai pihak berkuasa itu dijalankan semata-mata untuk mendengar keluhan warga kampung berkenaan masalah yang berlaku di kawasan mereka.

“Ini adalah inisiatif dari kami dan ianya akan terus dijalankan bagi mendekatkan diri wakil rakyat dengan masyarakat setempat.

“Dan dari permasalahan yang dilontarkan, pastinya ia akan dimasukkan dalam perancangan untuk diselesaikan atau ditambah baik.

“Di sini terdapat kuaters PDRM dan pelbagai masalah disuarakan untuk kami selesaikan serta saya juga akan memohon bantuan di peringkat mahupun pusat bagi menyelesaikan perkara berbangkit tersebut,” ujarnya ketika ditemui.

Selain itu menurutnya, terdapat juga petugas-petugas dari Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dun Mahkota yang sentiasa bergerak untuk mencari permasalahan di kawasan kampung di dun berkenaan.

Bagi pandangan beliau, program sebegini amatlah baik kerana selain mendengar permasalahan serta mendekatkan diri dengan masyarakat ia juga dapat mempamerkan kesungguhan wakil rakyat di bawah pemerintahan PH di Johor.

“Jelajah ini akan diteruskan dengan menyantuni kampung-kampung yang lain. Saya juga mengajak pelbagai pihak untuk bersama-sama hadir di setiap program yang diwar-warkan untuk meluahkan pendapat kepada pihak saya.

“Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang terbabit dalam menjayakan aktiviti jelajah ini,” ujarnya lagi.