Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akhirnya mengesahkan khabar bahawa dirinya sudah bernikah buat kali kedua dengan seorang anggota polis, baru-baru ini.
Perkenalan Sanusi dengan pegawai polis yang berstatus ibu tunggal seorang anak itu dikatakan bermula apabila wanita berkenaan terbabit dalam siasatan kes letupan sebuah kabin kontena pada 16 Oktober 2022.
Kabin kontena tersebut dijadikan stor simpanan dan diletakkan di bahagian belakang pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar Kedah (Seri Mentaloon) sebelum terbakar dipercayai akibat perbuatan khianat.
Difahamkan selepas siasatan kes tersebut selesai, isteri pertamanya iaitu Tok Puan Jusmalailani Jusoh dan isteri kedua itu bersahabat baik termasuk mengikuti aktiviti kuliah bersama-sama.
Muhammad Sanusi berharap dengan pendedahan itu, tiada lagi spekulasi mengenai hal rumah tangganya selepas ini selain turut meminta privasi keluarga dan anaknya dihormati, lapor Harian Metro.
“Isteri (kedua) saya bukan penyiasat REE (unsur nadir bumi), dia penyiasat ada satu pengeboman di kediaman rasmi menteri besar. Bom itu pun sudah meletup, kontena itu terbakar.
“Saya jumpa beliau untuk kali pertama dan kali terakhir atas siasatan bom. Jadi polis datang ramai-ramai ambil statement (kenyataan) sebab siasatan. Selepas itu, dia jadi kawan isteri saya.
“Dia ada mengaji di kuliah sama dengan isteri (pertama), tiada kawan dan berjumpa. Selepas kahwin saya bercinta. Saya nak maklumkan kepada tuan-tuan, percintaan selepas perkahwinan lebih indah daripada percintaan sebelum berkahwin,” akuinya.
Menurut Sanusi lagi, pengakuan dibuat kerana beliau tidak mahu kisah peribadinya terus menjadi bualan dan spekulasi sehingga ada yang mendakwanya ditangkap khalwat.
Sebaliknya, pernikahan itu dikatakan berlangsung secara teratur termasuk majlis peminangan yang dilakukan sendiri oleh Tok Puan Jusmalailani Jusoh dan turut dihadiri kesemua anak-anaknya.
“Ada ka saya kena tangkap khalwat, tak patut sungguh. Saya berkahwin dengan anggota polis, isteri (pertama) yang pergi meminang dia. Pinangan itu dibuat berbulan-bulan sudah.
“Alhamdulillah sempurna, teratur. Dia seorang ibu tunggal anak satu. Ketika perkahwinan, isteri dan anak-anak saya pun hadir. Semua proses (prosedur) semua dipatuhi.
“Saya tak berhasrat untuk buat pengumuman, nak elak benda sensasi yang tak perlu ini. Saya rasa tak ada isu apa, ada kuota dua lagi. Depa kata tok lebai Pas ini kira menikah je kan?.” Kata Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri itu.
Baca juga: Taktik perdaya peniaga tak berjaya, pelanggan kantoi beli burger RM9 tapi bayar 9 sen