Sanusi akui PN berdepan cabaran sukar, tak anggap PRK Sungai Bakap perkara kecil

Oleh WAN SITI AMINAH

Bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang semakin terasa apabila tempoh penamaan calon berbaki dua minggu lagi.

Gabungan parti Pakatan Harapan (PH) dan juga Barisan Nasional (BN) telah sebulat suara bersetuju menghantar calon PKR untuk mencuba nasib sekali lagi bertanding di kawasan berkenaan.

Manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula memberi laluan kepada Pas untuk mewakili Perikatan Nasional (PN) di dalam PRK yang bakal diadakan pada 6 Julai depan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga pemimpin Pas itu mengakui parti gabungan berkenaan berdepan cabaran sukar untuk menghadapi PRK Sungai Bakap.

Jelasnya, perkara itu bukan mudah ekoran Kerajaan Perpaduan juga berhasrat untuk membuktikan slogan Madani sudah diterima rakyat menerusi PRK berkenaan, lapor Berita Harian.

“Jadi, untuk membuktikan (perkara) itu dia (Pakatan Harapan) hendak menanglah di dalam pilihan raya (kerana) dia (PH) Kerajaan Persekutuan (dan) PN di Pulau Pinang (adalah) pembangkang.

“Saya tidak anggap (PRK) perkara kecil, jadi kita pun kena bersiap sungguh-sungguh untuk mengekalkan kemenangan di Sungai Bakap,” kata Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah itu memetik laporan Berita Harian.

Difahamkan, Sanusi berkata sedemikian ketika ditemui oleh pihak media selepas menghadiri program kayuhan amal The Greater Kedah di Masjid Kampung Musa, Pedu, Kuala Nerang, pada Sabtu.

Muhammad Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu turut memaklumkan bahawa beberapa gerak kerja sudah disusun oleh gabungan tersebut bagi menghadapi cabaran berkenaan.

Hal ini termasuklah pelancaran jentera pilihan raya dan mesyuarat jawatankuasa induk khusus untuk PRK Sungai Bakap yang diketuai oleh Naib Presiden Pas iaitu Datuk Idris Ahmad.

“Kawasan DUN Sungai Bakap mempunyai pengundi yang berbilang bangsa meliputi masyarakat Melayu sebanyak 60 peratus, Cina 22 peratus dan juga India 16 peratus.

“Jadi atas nama PN, kita akan kerja bersungguh-sungguh untuk mengekalkan sokongan 17,000 pengundi yang telah memberi undi kepada PN dalam PRN lalu.” Ulasnya.

Sekadar info, kerusi di DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff iaitu wakil rakyat daripada parti PN pada 24 Mei lalu akibat keradangan dalam perut.

Baca juga: Sewakan PPR kepada warga asing, PATI, KPKT akan laksana operasi besar-besaran untuk cari pemilik rumah