Malaysia Dateline

Sanusi gagal urus Kedah jika projek balak di Ulu Muda diteruskan

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor diingatkan agar mengkaji dengan lebih teliti antara kepentingan menjaga alam sekitar berbanding membenarkan balak terus ditebang di negeri itu.

Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, Sanusi tidak mempunyai keupayaan menguruskan negeri jika gagal menguruskan isu kritikal membabitkan kawasan tadahan air di Hutan Simpan Ulu Muda itu.

“Sekiranya Pakatan Harapan (PH) yang mengendali atau mengetuai kerajaan, insyaAllah perkara tersebut akan diuruskan dengan baik.

“Menguruskannya tanpa berlaku tuntutan begitu besar dan juga akan mencari jalan terbaik yang tidak merugikan pembalak-pembalak berkenaan.

“Jadi, saya harap MB baharu (Sanusi) hendaklah mengkaji lebih teliti antara kepentingan untuk menjaga alam sekitar dan bekalan air kepada pesawah-pesawah, berbanding membenarkan balak ini terus ditebang atau diberikan kepada mereka,” katanya.

Phahrolrazi berkata demikian ketika dihubungi Malaysia Dateline apabila diminta mengulas mengenai pertimbangan semula Sanusi untuk membuka kembali konsesi balak di Ulu Muda.

Sanusi dipetik berkata, kerajaan negeri bagaimanapun tidak berhasrat untuk membuka kembali konsesi balak dengan meneroka kawasan baharu pembalakan.

Sebaliknya cadangan itu, jelas Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah berkenaan hanya antara alternatif menyelesaikan masalah yang timbul selepas kelulusan konsesi pembalakan sebelum ini dibatalkan.

Menurut Sanusi, jumlah tuntutan ganti rugi yang dikemukakan syarikat yang telah dibatalkan kelulusan konsesi pembalakan di Kedah kini mencecah RM1.5 bilion.

“Sebelum ini, tuntutan itu adalah sebanyak RM1 bilion membabitkan kira-kira 40 syarikat dengan jumlah kelulusan konsesi sebanyak 131 dan kawasan seluas 22,098 hektar di Hutan Simpan Ulu Muda.

“Cadangan yang dibuat untuk menghadapi situasi ini (tuntutan ganti rugi) ialah mempertimbang untuk ganti kawasan (pembalakan) lain di luar kawasan tadahan.

“Kawasan ganti itu mestilah tidak beri kesan kepada alam sekitar seperti hakisan dan penggondolan,” kata Sanusi lagi.

Kenyataan Sanusi berhubung konsesi balak itu bercanggah dengan keputusan kerajaan negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) yang telah menggazetkan Ulu Muda sebagai hutan simpan dan kawasan tadahan air.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah membatalkan semua permohonan pembalakan di kawasan Hutan Simpan (HS) Ulu Muda sejak 2018.

Bahkan, keluasan kawasan tadahan air di HS Ulu Muda ditambah sebanyak 209 peratus kepada 123,855 ekar seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Kedah 2020.