Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi saranan kepada Muhammad Sanusi Md Nor supaya menjalankan tanggungjawabnya sebagai Menteri Besar Kedah berbanding menyibuk dalam hal negeri lain.
Jelas Fahmi, masih banyak lagi projek-projek di Kedah yang sebelum ini diumumkan oleh Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu namun tidak berjaya disiapkan sehingga ke hari ini.
Fahmi yang juga jurucakap kepada Kerajaan Perpaduan itu turut berpendapat bahawa Sanusi lebih banyak meluangkan masanya untuk bercakap daripada menjalankan tugas dipertanggungjawabkan ke atasnya.
Situasi ini dikatakan berbeza dengan Datuk Seri Amirudin Shari selaku Menteri Besar Selangor yang berjaya menyiapkan kebanyakkan projek diumumkannya khususnya berkaitan pembangunan di negeri tersebut, lapor Malaysia Kini.
“Saya rasa daripada Sanusi sibuk tentang negeri lain, (lebih baik) menyibukkan diri dia untuk menyiapkan pelbagai projek yang telah beliau umumkan di negeri Kedah. Sama ada projek litar atau apa sahaja.
“Dia ini sembang banyak, tetapi (projek yang) siap tak banyak. Berbezalah dengan Menteri Besar Selangor. Beliau umum (projek pembangunan) dan kita sudah lunas dan tunaikan.
“Menteri Besar Kedah ini sudahlah dia ada kes hasutan melibatkan Tuanku Sultan Selangor, jadi saya rasa diam sajalah Sanusi,” kata Fahmi memetik laporan Malaysia Kini.
Respon ini diberikan Fahmi bagi mengulas kenyataan Sanusi mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) di Selangor membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
Terdahulu, Sanusi kelmarin dilaporkan berkata bahawa tindakan parti MIC dan juga MCA untuk memboikot PRK Kuala Kubu Bharu yang bakal diadakan di bulan hadapan bakal memberi kelebihan kepada PN.
Pada masa yang sama, pemimpin Pas itu juga berkata pihaknya akan berusaha agar hubungan parti-parti di dalam kerajaan yang menurutnya kini retak menjadi ‘belah’.
“Itu masalah rumah tangga mereka. Kita akan retakkan lagi untuk menjadi belah. Mereka sudah retak, jadi kita akan pecahkan lagi. Itulah kerja politik,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu.
Sekadar info, PRK Kuala Kubu Bharu ini diadakan ekoran kematian penyandangnya iaitu Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu selepas mewakili kawasan tersebut sejak 2013.
Suruhanjaya Pilihan Raya kemudian menetapkan hari penamaan calon pada 27 April ini manakala hari mengundi pada 11 Mei dan tarikh pengundian awal pula pada 7 Mei depan.
Baca juga: Raih 1.6 juta tontonan, tauke babi joget ‘Alamak Raya Lagi’ untuk kawan-kawan Melayu dipuji ramai