Malaysia Dateline

Sanusi, Kedah dan politik balak

ISMAIL HASHIM YAHAYA

TIDAK sampai sebulan Muhammad Sanusi Md Nor menjadi Menteri Besar Kedah, isu pembalakan meletup kembali di persada media. Sanusi telah dipanah dengan tujahan maklumat daripada warga internet berhubung dengan kenyataan status cadangan kerajaan Kedah memberi kawasan pembalakan lain sebagai pampasan kepada syarikat pembalakan.

Persoalan yang timbul bersandarkan kenyataan dan kandungan di media tradisional dan baharu ialah untuk kepentingan siapakah isu ini diutarakan, kalau untuk rakyat Kedah, adakah ia bagi meningkatkan pendapatan kerajaan negeri supaya Kedah dapat dibangunkan tetapi adakah ia dilakukan dengan mengorbankan biodiversiti dan ekosistem hutan hujan di Kedah.

Hakikatnya kemusnahan alam iaitu melibatkan sumber asli pupus dan keperluan untuk pemuliharaan telah kini muncul sebagai fakta-fakta yang tidak dapat dipertikaikan. Pengeksploitasian alam sekitar telah mengancam kelangsungan hidup manusia telah diwujudkan sebagai fakta kewujudan manusia.

Dalam erti kata lain, perlindungan alam sekitar tidak dilihat hanya sebagai suatu kebaikan, ia dilihat sebagai satu keperluan. Pembalakan akan dilihat sebagai isu pembangunan tidak mapan dan boleh menjejaskan spektre politik Pas juga.

Dalam perspektif sargajawgat, hubungan ekonomi dan politik memainkan peranan penting dalam mana-mana kegiatan pembalakan. Dua institusi sosial ini saling berkaitan dan sukar dipisahkan di antara satu sama lain.
Kuasa politik memerlukan dukungan sumber-sumber ekonomi yang memberikan kekuatan kedudukan politik. Penggunaan kuasa ekonomi politik secara lebih halus akan memberikan dampak politik personaliti dan parti.

Dalam hubungan ini golongan yang menguasai sumber ekonomi mampu membentuk hala tuju politik dan membuat tawar menawar dan ia bermaksud pengaruh politik yang luas turut dipengaruhi oleh kuasa ekonomi. Dengan kata lain, ahli politik yang berkuasa ialah individu yang boleh mengawal sumber kuasa politik dan ekonomi dengan bijaksana.

Keadaan ini dapat dilihat kepada kes pembalakan di Sarawak suatu ketika dahuku apabila kekuatan politik Tun Abdul Taib Mahmud ketika menjadi Ketua Menteri Sarawak dikaitkan dengan sumber ekonomi yang kuat. Adakah MB Kedah ini sedang menuju ke arah membina rangkaian ekonomi dan politik yang berpengaruh melalui kegiatan pembalakan?

Hakikatnya, dalam konteks politik semasa (PKP dan pandemik Covid-19) di mana-mana sahaja ahli politik perlukan sumber ekonomi untuk bertapak kukuh. Sukar bagi ahli politik bagi bergerak dengan licin dan efisien sekiranya menghadapi kekangan sumber ekonomi. Rakyat di akar umbi sentiasa dengan pelbagai tuntutan dan kemahuan yang kadangkala di luar tugas hakiki sebenar seorang ahli politik.

Politik memerlukan jentera untuk bergerak di kampung-kampung dan cawangan-cawangan. Sejumlah dana yang besar dan wang peruntukan sedia ada sering digunakan akan kehabisan sebelum waktunya. Maka, sumber dana tambahan diperlukan dan tanpa sumber ekonomi yang kuat maka risiko pengaruh dan kuasa akan pudar atau hilang.

Isu alam sekitar pertama yang melanda Negeri Kedah adalah kes pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda. Hutan Ulu merupakan sebuah kawasan yang cukup penting dan strategik kepada manusia, flora dan fauna yang wujud di Utara Semenanjung Malaysia.

Bersaiz dua kali ganda lebih besar daripada Singapura, Hutan Simpan Ulu Muda ini turut memainkan peranan sebagai sebuah kawasan tadahan air. Peranan kawasan tadahan air ini sangat signifikan buat tiga buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang dan juga Perlis bagi tujuan pengairan tanaman, kegunaan domestik dan industri yang mana air tersebut dibekalkan melalui tiga buah empangan utama di Kedah iaitu Pedu, Ahning dan Muda.

Episod pembalakan ini telah bermula semenjak Negeri Kedah diterajui oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) lagi. Kerajaan negeri pada waktu itu telah meluluskan 122,798 hektar konsesi balak beberapa syarikat pembalakan untuk melakukan pembalakan di enam kawasan iaitu Ulu Muda, Pedu, Padang Terap, Chebar Besar, Bukit Keramat, Bukit Saiong.

Beberapa sesi perbincangan mendalam antara Kerajaan Negeri Kedah BN dan Kerajaan Persekutuan, Tun Dr Lim Keng Yaik selaku Menteri di Kementerian Perusahaan Utama pada waktu itu. Hasil daripada perbincangan tersebut ialah pengharaman kegiatan pembalakan di semua kawasan hutan simpan yang ada di Malaysia.

Oleh yang sedemikian, Kementerian Kewangan telah berjanji kepada Menteri Besar Kedah pada waktu itu, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain untuk membayar pampasan kepada Kerajaan Negeri Kedah dan pada masa yang sama Kerajaan Negeri harus bersetuju untuk memelihara Hutan Simpan Ulu Muda daripada sebarang kegiatan pembalakan.

Secara teknikalnya Kerajaan Persekutuan tidak boleh menghalang kerja-kerja pembalakan tersebut kerana ia terletak di bawah peruntukan Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun kabinet telah bersidang dan telah memutuskan hal ini sepertimana yang telah termaktub berkenaan status hutan simpan yang tidak boleh dijalankan sebarang kerja pembalakan.

Isu balak di Kedah agak hangat semasa pemerintahan Azizan sehingga wujudnya pertikaian antara kerajaan negeri Kedah dengan Kerajaan Persekutuan. Azizan dikatakan meminta kerajaan pusat membayar RM100 juta supaya menghentikan penebangan balak di negeri itu.

Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan pernah membuat perjanjian lisan pada satu masa isu balak di Kedah hangat diperbualkan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri semasa itu Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, Azizan cuba mengalih perhatian rakyat daripada isu sebenar iaitu pembalakan rakus oleh Pas Kedah. Nampaknya pertikaman antara Dr Mahathir dan anaknya itu dengan Azizan dihangatkan kembali dalam era pemerintahan Sanusi.

Sanusi memang diketahui pernah dilantik sebagai Setiausaha Politik beliau pada 2008 hingga 2013. Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Sanusi berjaya memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri dalam pertembungan tiga penjuru membabitkan calon Umno dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Oleh itu dapat dilihat wujud hubungan antara Sanusi dan Industri pembalakan di Kedah semasa pemerintahan Azizan, Seperkara lagi sudah ada pertikaman lidah antara Mukriz dengan Azizan semasa itu berhubungan dengan isu pembalakan semasa beliau menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan selepas kemenangan PH Mukriz menjadi MB dan sekarang anak didik Azizan menjadi MB pula.

Tidak dapat dibayangkan bagaimanakah bentuk hubungan politik antara mereka, pertikaman atau “bertojai” tentulah tidak dapat dielakkan. Semasa Azian menjadi MB pun isu penangguhan pembalakan dan pampasan dibincangkan dan semasa pemerintahan Mukriz kegiatan pembalakan terus digantung.

Mukriz semasa menjadi MB pernah meminta kerajaan persekutuan memberikan pampasan yang setimpal dengan kerugian yang akan ditanggung kerajaan negeri itu selepas menghentikan pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda sejak tahun lepas.

Beliau berkata kerajaan negeri telah pun membangkitkan mengenai pampasan itu dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, sebelum ini.

“Sebelum ini (sebelum mesyuarat itu) kami telah pun menulis surat kepada kerajaan persekutuan untuk mohon penjelasan mengenai peruntukan disediakan oleh kerajaan persekutuan melalui Bajet 2019 berkaitan dengan pampasan kepada negeri yang membuat keputusan tidak lagi atau mengurangkan aktiviti pembalakan untuk tujuan menjaga bekalan air.(Malaysiakini 19 Jun 2019)

Dalam hubungan ini Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, kerajaan pusat wajar campur tangan dengan berbincang bersama syarikat pembalak bagi mencari situasi menang-menang bagi kedua-dua pihak.

“Bila adanya bayaran royalti atau pampasan, polemik pembalakan tidak timbul lagi kerana Kedah mempunyai pendapatan tetap hasil pengorbanan negeri selama ini. Royalti beras ini sama seperti royalti minyak diperolehi Terengganu, Sabah dan Sarawak,” katanya. (Sinar Harian, 29 Mei 2020).

Kerajaan negeri sepatutnya tidak membenarkan pembalakan di Kedah sebaliknya mempertingkatkan usaha untuk memelihara hutan sedia ada dan penghutanan semula.

Sanusi perlu juga memerhatikan senario COVID-19 (C-19) dan kesan kepada ekonomi negara dan Kedah dan apakah model pertanian yang dapat dimajukan supaya menjadi penyumbang beras kepada sektor pertanian negara.

C-19 adalah pertunjuk supaya Malaysia melihat ke dalam, kita tidak seharus bergantung kepada import beras asing, tetapi harus mengerakkan strategi ke arah jaminan makanan negara menuju kemandirian beras seperti negara jiran Thailand, Indonesia dan Filipina dan ini yang seharusny dilakukan Kedah menjadi negeri pertanian utamannegara.

Saya masih tidak faham tidakkah Sanusi memikirkan sebarang kenyataannya berhubung cadangan rancangan memulakan kegiatan pembalakan adalah kebas daripada kritikan keras daripada netizen, rakyat, parti PN dan parti pembangkang? Adakah isu pembalakan ini merupakan isu meruncing, sehingga tidak boleh ditangguh lagi.

Banyak soalan yang berlegar dalam kepala. Adakah beliau didesak oleh kumpulan pelobi balak supaya isu ini diutarakan setelah pertukaran kerajaan negeri daripada PH ke PN? Adakah MB tunduk kepada tekanan kumpulan pelobi ini?

Adakah PAS yang mengambil tampuk pemerintahan kerajaan negeri ini adalah pro syarikat balak, maksudnya hendak membantu menyelesaikan isu pampasan dengan cadangan menggantikan kawasan tadahan? Tidakkah ada ruang penyelesaian lain atau exit clause daripada pembekuan kegiatan pembalakan tersebut.

Atau adakah dengan status cadangan itu, Sanusi ingin menguji sejauh maankah maklum balas daripada netizen dan rakyat terhadap apa yang diutarakannya itu.
—————————–
Kolumnis adalah seorang pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran di Universiti Selangor (Unisel)