Malaysia Dateline

Sanusi kepanasan selepas membatalkan Thaipusam

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Mohd Nor kini kepanasan ekoran keputusan beliau membatalkan cuti Thaipusam di negeri itu.

Terbaru, Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang mempersoalkan sama ada keputusan membatalkan cuti umum sempena Thaipusam, adalah keputusan Sanusi Mohd Nor selaku MB atau keputusan Majlis Mesyuarat Negeri itu.

Menurutnya, jika ianya adalah keputusan Menteri Besar Pas itu sendiri, maka dia perlu membatalkan arahan tersebut.

“Sekiranya ini keputusan Exco Negeri Kedah atau parti-parti lain dalam kerajaan gabungan negeri iaitu Bersatu dan Umno, maka mereka mesti menjelaskan mengapa keputusan yang tidak sensitif dan diskriminasi itu dibuat.

“Adakah parti masing-masing akan memberi arahan kepada anggota Exco mereka untuk menarik semula keputusan?,” soalnya.

Terdahulu, isu pembatalan cuti umum Thaipusam menjadi pertikaian ramai pihak terutama MIC yang menganggap ianya keputusan berat sebelah dan menunjukkan keangkuhan pentadbiran negeri itu.

Sebelum ini Sanusi berkata, beliau telah berjumpa dengan tiga kumpulan masyarakat India yang mewakili penganut hindu di negeri itu untuk memaklumkan tentang pembatalan cuti umum Thaipusam susulan pandemik Covid-19.

Katanya, kerajaan negeri tidak berniat untuk menafikan hak penganut Hindu di Kedah.

Malah katanya, penganut agama berkenaan masih boleh menyambut perayaan itu di mana sahaja dengan syarat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 yang ditetapkan.