Malaysia Dateline

‘Sanusi usah ulangi perangai lama lulus tebang balak’

(Siri 1)

Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui oleh Muhammad Sanusi Md Nor sebagai Menteri Besar (MB) hasil daripada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) khianat yang melompat bagi mementingkan kedudukan jawatan dan wang ringgit ini mula hilang punca mencari sumber pendapatan negeri.

Umum sudah mengetahui bahawa kelemahan Sanusi dalam pentadbiran sebagai ketua kerajaan negeri tidak bijak mencari peluang pelabur luar terutama pada waktu serangan Covid-19. Jika seorang MB yang hanya banyak bergantung pada bantuan pusat dan hanya nampak pembalakan sebagai faktor utama bagi penggerak ekonomi negeri Kedah bermakna MB tersebut tidak layak menjadi Ketua kerajaan Negeri.

MB Kedah hari ini yang dilantik hasil lompatan ADUN-ADUN penjual maruah rakyat mempuyai rekod pentadbiran dan pengurusan yang amat lemah ini sepatutnya mengekang aktiviti pembalakan yang semakin berleluasa bagi menjaga kelestarian dan keindahan negeri Kedah.

Meneliti isu pembalakan di seluruh negeri Kedah serta aduan penduduk, semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat, rombakan ke atas segala akta (berkaitan pembalakan) yang sedia ada sudah dibuat bagi mengekang kerakusan kerajaan negeri meluluskan pembalakan sesuka hati tanpa menjaga alam sekitar termasuk Negeri Kelantan. Rakyat Malaysia semakin bijak menilai setiap sudut isu perhutanan bagi menjaga alam sekitar bersama.

Walaupun kita ada akta, tapi kuasa (penguatkuasaan) masih di peringkat negeri, kecuali Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, itu di bawah senarai bersama yang mana kita boleh kenakan peraturan atau undang-undang bagi menjamin kelestarian alam sekitar. Yang paling menyedihkan, akta-akta yang sedia ada seperti tidak dipedulikan sama ada di peringkat bawahan sehinggalah ke peringkat atasan. Fail laporan oleh NGO, orang awam seperti tidak diendahkan.

Kerajaan negeri Kedah harus mencari jalan lain untuk meningkatkan ekonomi bukannya hanya sekadar melihat pembalakan sebagai faktor utama. Hutan Ulu Muda menyimpan khazanah dunia kerana usia pokok-pokok di Kedah menjangkau ratusan tahun dan tempat habitat kepada flora dan fauna serta ianya salah satu menjadi tumpuan tarikan pelancong dan pencinta alam sekitar dari dalam dan luar negara terutama di kawasan Sik, Padang Terap dan Baling.

Kerajaan negeri Kedah yang diterajui Sanusi harus terus menyambung menghentikan pembalakan di semua kawasan yang telah dihentikan pembalakan semasa zaman pemerintahan PH. Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk menghentikan sebarang aktiviti yang dilihat mampu menimbulkan kerosakan kepada alam sekitar serta kawasan masyarakat di sekeliling.

Jika kerajaan pusat sendiri tidak mengambil endah dan terus membenarkan Menteri Besar Kedah meluluskan penebangan balak maka kedudukan alam semula jadi Ulu Muda dan lain-lain Kompartmen 58, 52, 53 , 61, 63 dan Kompartmen berkaitan di daerah Padang Terap, Sik dan Baling berada dalam keadaan yang bahaya bagi habitat alam.

Sepatutnya usaha pemeliharaan khazanah hutan ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Jabatan Perhutanan sepatutnya tidak tunduk pada telunjuk seorang Menteri Besar apabila Kompartmen yang melibatkan kawasan tadahan air bersih serta menjaga kehijauan alam terutama di kawasan Ulu Muda dan Tasik Pedu. Sokongan daripada masyarakat juga diperlukan untuk memelihara khazanah hutan negeri Kedah.

Masalah yang timbul sekarang ialah kuasa Jabatan Perhutanan itu sendiri terbatas apabila segala akta yang sedia ada dicampuri oleh urusan orang atasan dan tangan tangan ghaib yang hanya mementingkan keuntungan hasil dari pembalakan terutama dari seorang Menteri Besar yang mempunyai kuasa meluluskan penebangan di mana bidang kuasa portfolio berkenaan di bawah kuasa MB.

Di Kedah sahaja terdapat kira-kira 300,000 hektar hutan simpan dan jika tidak dibendung dengan cepat ia akan menyebabkan hutan simpan hilang dan musnah begitu sahaja. Kepada ahli-ahli Pas yang mengaku pejuang Islam harus menitik beratkan keindahan dan kejadian tuhan.

Jangan hanya kerana berbeza parti dan menjadi penyokong membabi-buta anda langsung tidak mempedulikan khazanah alam yang Allah berikan untuk penafasan yang bersih dan keindahan bumi ciptaan Allah.

* Penulis juga dikenali sebagai Leman Raja Lawan dan merupakan bekas Pengarah Biro Tanah, Pertanian dan Luar Bandar Amanah Kedah serta mantan Ketua AMANAH Kawasan Sik.