Malaysia Dateline

Sany Hamzan berkerusi roda ke Dewan Rakyat, dibenar angkat sumpah daripada tempat duduk susulan pasca pembedahan

Sidang Parlimen yang bermula hari ini menyaksikan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan mengangkat sumpah daripada tempat duduknya di Dewan Rakyat.

Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul dilaporkan memberi kebenaran kepada beliau berikutan Mohd Sany hadir berkerusi roda.

Beliau tidak dibenarkan berjalan susulan baru sahaja menjalani pembedahan minggu lepas.

“Saya telah menerima satu pemakluman daripada Yang Berhormat Hulu Langat akan keadaan kesihatan beliau yang baru sahaja menjalani pembedahan pada minggu lalu.

“Beliau tidak dibenarkan untuk berjalan. Sehubungan itu saya membenarkan Yang Berhormat Hulu Langat mengangkat sumpah dari tempat duduknya,” katanya.

Mohd Sany yang kemudiannya dibantu pegawai Dewan Rakyat dilihat mengangkat sumpah dari tempat duduknya.

“Setelah dipilih sebagai seorang ahli Dewan Rakyat, dengan sesungguhnya bersumpah bahawa saya akan jujur menunaikan kewajipan sebagai yang demikian, dengan segala daya upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya,” katanya.

Baca Juga: Tak puas hati istilah Kerajaan Perpaduan: Rafizi sindir pembangkang rujuk pada Pagoh dan Marang

Baca Juga: Ungkit isu MoU Kerajaan Perpaduan hanya kacau rumah tangga orang