Malaysia Dateline

Sapina dikeluarkan terhadap Azam Baki untuk hadir mesyuarat PSC

Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki disapina untuk hadir ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri pada 19 Januari ini.

Ia susulan satu dakwaan pemilikan saham Azam dalam dua buah syarikat sehingga mencetuskan kontroversi baru-baru ini.

Ahli PSC Chan Foong Hin memberitahu Malaysiakini bahawa setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha telah menulis surat memintanya menghadiri mesyuarat itu pada Rabu depan

Chan juga memberitahu setakat ini PSC difahamkan hanya Azam baki yang akan hadir ke mesyuarat itu nanti

“Setahu saya, hanya Azam yang dipanggil ke mesyuarat PSC.

“Terdapat peruntukan dalam Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 untuk menetapkan perintah kehadiran mana-mana saksi,” katanya ketika ditanya sama ada Azam mengesahkan akan menghadiri mesyuarat itu Rabu depan.

Menurut Chan, sebelum ini, Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Sains dan Inovasi juga telah memanggil Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.