Malaysia Dateline

Sapura Energy peroleh kontrak bernilai RM760 juta

Sapura Energy Bhd memperoleh kontrak bernilai RM760 juta bagi perniagaan penggerudian dan kejuruteraan dan pembinaannya, meningkatkan nilai kontrak kepada RM9.3 bilion pada tahun kewangan semasa berakhir 31 Jan, 2019.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat itu berkata nilai perolehan kontraknya yang meningkat akan menyaksikan penggunaan asetnya yang lebih tinggi berikutan ia bersedia untuk pertumbuhan jangka panjang dalam segmen perkhidmatannya.

Katanya Sapura Drilling telah memperoleh kontrak di Angola daripada Cabinda Gulf Oil Company Ltd, anak syarikat Chevron Corporation, bagi penyediaan Semi-Submersible Tender Assisted Drilling Rig, Sapura Jaya, untuk kerja-kerja penggerudian di perairan Angolan untuk tempoh dua tahun, dengan pilihan lanjutan.

Projek itu melibatkan penggunaan penyelesaian teknikal yang pertama untuk meningkatkan kecekapan bagi kempen penggerudian, katanya.

Selain itu, Sapura Drilling telah menerima lanjutan kontraknya dengan Sarawak Shell Bhd dan Sabah Shell Petroleum Company Ltd bagi penyediaan Sapura Esperanza, Semi-Submersible Tender Assisted Drilling Rig yang melibatkan penggerudian tiga telaga luar pesisir Sarawak.

Syarikat itu turut diberikan lanjutan kontrak oleh Petronas Carigali Sdn Bhd bagi penyediaan Semi-Tender Assisted Drilling Rig, Sapura Berani, yang terdiri daripada penggerudian dua telaga di kemudahan Sumandak, luar pesisir Sabah, menurut Sapura Energy.

Sementara itu, Sapura Fabrication diberikan kontrak daripada Petronas Floating LNG 1 (L) Ltd untuk menjalankan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bagi penempatan semula dan sambungan PFLNG Satu (Gas Asli Cecair (LNG) Terapung Petronas), yang terletak di Kumang Cluster, luar pesisir Sarawak, katanya.

Kumpulan itu berkata Sapura Fabrication turut dilantik oleh Hess Exploration and Production Malaysia B.V. untuk melaksanakan skop tambahan bagi kerja-kerja pemasangan dan pengangkutan luar pesisir di bawah kontrak sedia ada bagi penyediaan EPCC dan pemasangan untuk kemudahan mereka di utara Malay Basin.

— BERNAMA