Malaysia Dateline

SAR di Gunung Senyum tamat-‘Mangsa’ ada rekod sakit mental, 2 rakan didakwa hilang tidak wujud

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki yang dikatakan hilang di Hutan Gunung Senyum di Temerloh tamat hari ini memandangkan mangsa yang memberi maklumat mempunyai rekod sakit mental.

Justeru, dua rakan yang didakwa masih hilang di gunung itu dipercayai tidak wujud.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata siasatan awal mendapati mangsa mempunyai rekod sakit mental dipercayai mengalami gangguan dan rakannya yang didakwa turut sesat sebenarnya tidak wujud

Operasi SAR diaktifkan petang semalam selepas pihaknya dimaklumkan terdapat dua mangsa hilang di hutan itu.

Maklumat diterima daripada seorang lelaki berusia 29 tahun yang menghubungi talian kecemasan sekitar 5 petang semalam, memaklumkan dirinya sesat, sebelum berjaya ditemukan pasukan penyelamat kira-kira tiga jam kemudian.

“Mangsa yang dijumpai dalam keadaan keletihan memaklumkan telah meninggalkan rakannya yang sangat keletihan, sementara dia cuba mencari bantuan. Bagaimanapun, usaha untuk mengesan rakan mangsa yang dikatakan berusia 20-an gagal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain bomba, operasi SAR juga disertai polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Perhutanan dan penduduk setempat, dipetik Harian Metro.

Baca juga: Alasan terlalu lama tunggu-Pengguna motosikal paling ramai langgar lampu isyarat

Baca juga: Dibiarkan keseorangan, kanak-kanak hampir terjatuh eskalator sebelum diselamatkan