Malaysia Dateline

Sarapan percuma: Kenyataan Presiden MCA dianggap tidak sensitif terhadap murid, kata Faiz

Kenyataan Presiden MCA, Wee Ka Siong pada 28 Ogos lalu yang mempertikaikan mengenai sarapan percuma kepada semua murid sekolah rendah di negara ini, dianggap tidak sensitif dan tidak memahami situasi sebenar mereka.

Timbalan Ketua Pemuda AMANAH, Faiz Fadzil berkata, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan konsep sarapan percuma di sekolah rendah ini adalah bertepatan, kerana ia akan mempersiapkan murid daripada segi mental dan fizikal untuk menghadapi proses pembelajaran.

Malah, Faiz berkata sarapan percuma itu akan membantu murid-murid menjalani gaya hidup sihat tanpa mengira status sosio-ekonomi mereka dan ianya juga penting untuk pembangunan modal insan, kerana dilaporkan ramai pelajar di negara ini hadir ke sekolah tanpa bersarapan pagi.

Wee Kak Siong

“Sikap beliau (Wee Ka Siong) yang terlalu berkira-kira dalam memberikan makanan berkhasiat untuk anak-anak Malaysia cukup mengecewakan. Ka Siong juga telah mempersoalkan mengapa pelajar daripada keluarga berpendapatan tinggi harus diberikan sarapan percuma di sekolah.

“Perlu diingatkan bahawa, hanya kerana seseorang itu datang daripada keluarga berada, tidak bermakna pelajar berkenaan akan mengambil sarapan pagi. Hasil ‘MyBreakfast Study’ menunjukkan hampir 18 peratus pelajar yang dikaji daripada keluarga berpendapatan tinggi, tidak bersarapan atau hanya bersarapan sekali-sekala.

“Situasi ini lebih teruk dalam kalangan pelajar berpendapatan rendah iaitu pada kadar 28.3 peratus. Berdasarkan kajian ‘MyBreakfast Study’ oleh Persatuan Nutrisi Malaysia, sebanyak 20.1 peratus atau satu daripada lima pelajar sekolah rendah tidak bersarapan atau hanya bersarapan sekali-sekala.

“Kajian turut mendapati, para pelajar yang tidak bersarapan menunjukkan tahap aktiviti fizikal yang lebih rendah berbanding rakan-rakan mereka,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Faiz menjelaskan setiap RM1 yang akan dibelanjakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam program sarapan percuma ini, adalah pelaburan untuk generasi masa depan.

Katanya, ini adalah kerana laporan UNICEF menunjukkan 17.7 peratus kanak-kanak dan remaja di negara ini yang berusia 5 hingga 19 tahun mengalami masalah pertumbuhan terbantut, dan salah satu sebab utamanya adalah kekurangan nutrisi.

“Pada 19 Mac lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir telah menjelaskan kos sarapan percuma ini akan ditampung menggunakan cukai gula atau ‘soda tax’ yang telah diperkenalkan atas minuman bergula bermula 1 Jun lalu.

“Kos sarapan percuma ini juga dapat dikurangkan apabila kerajaan memberikan tender makanan di kantin sekolah secara proses terbuka dan kompetitif. Bukan itu sahaja, menerusi pengurusan perbelanjaan yang lebih teliti dan pengurangan ketirisan, hasil penjimatan ini dapat digunakan untuk membayar kos sarapan percuma,” ujarnya lagi.

Faiz berkata, konsep sarapan percuma ini adalah selari dengan konsep kemakmuran bersama atau dipanggil ‘shared prosperity’.

“Kemajuan negara tidak dapat dicapai tanpa modal insan yang berkualiti. Membina modal insan yang berkualiti sejak dari zaman sekolah rendah, adalah langkah awal pembinaan sebuah negara maju yang seimbang.

“Program ini (sarapan percuma) adalah salah satu langkah kerajaan menuju ke arah aspirasi rakyat yang mahu melihat perubahan berlaku dalam negara,” katanya.

27 Ogos lalu, Ka Siong menerusi hantaran Facebooknya mempersoalkan kewajaran program sarapan percuma khas untuk murid sekolah rendah bermula Januari 2020 yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Antara yang dibangkitkan Ka Siong ialah kos perbelanjaan untuk program itu yang menurutnya boleh digunakan untuk perkara lain.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu turut mempersoalkan mengenai hasrat kerajaan untuk membekalkan makanan berkhasiat secara percuma kepada semua pelajar sekolah rendah termasuk mereka yang berasal dari keluarga berada.

“Terdapat 2.7 juta orang murid sekolah rendah di seluruh negara. Berdasarkan perkiraan RM3 sehari untuk 200 hari bersekolah dalam setahun, maka kos penyediaan makanan berkhasiat untuk semua pelajar adalah sebanyak RM1.6 bilion.

“Dalam keadaan PH telah meningkatkan hutang negara melebihi RM100 bilion sejak mereka memerintah, adakah wajar kerajaan terus berbelanja sebegini?

“Wang tersebut lebih baik dibelanjakan untuk membantu golongan petani miskin serta membina lebih banyak rumah mampu milik dan kos rendah,” katanya.