Malaysia Dateline

“Saravanan harus letak jawatan susulan ‘scam’ PenjanaKerjaya”

Memandangkan “scam PenjanaKerjaya” berlaku bawah Kementerian Sumber Manusia, menterinya Datuk Seri Saravanan yang alpa dengan isu ini digesa untuk meletakkan jawatan.

Pemuda AMANAH Nasional memandang serius “scam” PenjanaKerjaya bernilai beratus juta ringgit yang telah dilaporkan baru-baru ini.

Setakat ini, PERKESO telah menggantung bayaran PenjanaKerjaya sebanyak RM432 juta kerana dipercayai ada elemen penipuan.

Pengarah Strategi Pemuda AMANAH Ammar Atan berkata, dana yang sepatutnya membantu anak muda dan pencari pekerjaan telah diseleweng oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab termasuk ahli MIC, seperti yang diakui oleh Menteri Sumber Manusia dan Timbalan Presiden MIC, M. Saravanan.

“Sewajarnya, Saravanan harus meletakkan jawatan atas kealpaan ini, memandangkan “scam” ini berlaku bawah kementeriannya dan ia melibatkan pemimpin partinya sendiri.

“Jika Saravanan terus kekal sebagai Menteri, dikhuatiri akan berlaku “conflict of interest” dalam penyiasatan terhadap pemimpin-pemimpin MIC tersebut,” katanya.

"Saravanan harus letak jawatan susulan 'scam' PenjanaKerjaya"

Beliau juga mempersoal keikhlasan Saravanan dan kementeriannya dalam menyiasat “scam” PenjanaKerjaya.

Ini kerana katanya, isu penyelewengan ini telah dibongkarkan pada bulan Mei 2021 oleh pemimpin Pakatan Harapan dan bekas Menteri Sumber Manusia, saudara M. Kulasegaran.

“Sangat mengecewakan apabila kes ini mengambil masa 14 bulan untuk disiasat dan tangkapan dibuat.

“Ini menunjukkan Saravanan tidak ikhlas dalam menyelesaikan isu penyelewengan ini.

“Apakah punca kelewatan ini? Adakah Saravanan mengetahui sesuatu yang tidak diketahui oleh umum?”soal beliau.

Sehingga kini jumlah bayaran yang telah dibuat oleh Perkeso kepada para majikan dan pekerja di bawah Program PenjanaKerjaya adalah sebanyak RM2.34 bilion.

Barangkali, kerugian yang dialami akibat penyelewengan adalah jauh lebih tinggi daripada jangkaan semasa.

Justeru, Pemuda AMANAH menggesa agar audit forensik dibuat secara menyeluruh terhadap semua program yang diperkenalkan bawah Pakej Rangsangan Ekonomi kerajaan BN-PN.

“Ini termasuk penyiasatan ke atas Program Subsidi Upah, di mana lebih RM20 bilion telah disalurkan sehingga ini.

“Satu Suruhanjaya Siasatan bebas harus menyiasat isu penyelewengan dana Pakej Rangsangan Ekonomi secara menyeluruh dan laporan harus dibentangkan di Parlimen.

“Rakyat Malaysia berhak mendapat siasatan dan maklumat yang adil dan bebas.

“Kami menggesa kerajaan BN-PN untuk melaksanakan siasatan bebas dan menyeluruh sebelum hujung tahun ini.

“Semua pihak yang terlibat, termasuk ahli politik yang tidak bertanggungjawab, harus dikenakan hukuman yang setimpal,” katanya.

Baca juga: Bersaralah dari politik, pengundi jangan macam keldai, ahli parlimen ini dikecam orang ramai

Baca juga: Enam ditahan kes bakar remaja hingga melecur