Malaysia Dateline

Sarawak akan buka banyak lagi pusat kuarantin di Kuching

Sarawak bakal membuka lebih banyak lagi pusat kuarantin bagi pesakit Covid-19 di Bahagian Kuching dalam masa terdekat ini.

Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, dua tempat sudah dicadangkan untuk dijadikan pusat tambahan bagi menghadapi kemungkinan pertambahan mangsa positif.

“JPBN kini melihat untuk menubuhkan lebih banyak pusat kuarantin untuk Kuching.

“Institut Latihan Kepimpinan dan Pengurusan Pendidikan Aminuddin Baki dan Akademi LDHN di Kuching telah dicadangkan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.” kata JPBN dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, pihak JPBN turut melihat kemungkinan menjadikan Akademi Kastam dan Eksais Diraja sebagai pusat tambahan bagi mengkuarantinkan mangsa positif Covid-19.

Bahagian Kuching merupakan antara bahagian yang telah diisytiharkan sebagai kawasan panas penularan Covid-19 yang kini berada pada zon merah.

Sebagai rekod, Kuching telah mencatatkan kes positif paling ramai iaitu seramai 88 orang telah dijangkiti oleh wabak pandemik itu dan empat kematian telah direkodkan setakat ini.