Malaysia Dateline

Sarawak alu-alukan siasatan SPRM

Kerajaan Sarawak menyambut baik tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat sebarang perbuatan salah laku dan rasuah di negeri ini tetapi meminta agar badan itu tidak melakukan ‘pendakwaan terpilih’.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata adalah menjadi tanggungjawab SPRM menyiasast siapa saja yang melakukan kesalahan.

“Asalkan tidak berlaku pendakwaan terpilih … jangan bila nak cari siapa yang nak didakwa, hanya melihat kepada parti lawan sahaja. Kalau parti lawan sahaja yang disiasat dan parti sendiri (kerajaan) tidak disiasat, itu tidak adil.

“Saya benar-benar ingin melihat siapa jua yang terlibat dalam rasuah diberkas. Dan kami sukacita kerana ini akan menjadikan pentadbiran dan negara kita lebih bersih,” katanya kepada Bernama selepas sidang media mengenai 22nd Rainforest World Music Festival, di sini hari ini.

Kelmarin, SPRM mengesahkan bahawa terdapat kes-kes melibatkan personaliti berprofil tinggi di Sarawak.

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Beebi Koya enggan memberikan butir-butir lanjut memandangkan siasatan sedang berjalan.

— BERNAMA