Malaysia Dateline

Sarawak ambil keputusan tidak laksanakan PKPB

Sarawak mengambil keputusan untuk tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan pembukaan semula hampir semua sektor ekonomi serta perniagaan bermula esok sehingga kajian impilikasinya selesai.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Sarawak belum bersedia untuk memberi kelonggaran di negeri ini seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu.

“Bagaimanapun, Sarawak menghormati sepenuhnya pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri namun kita memutuskan untuk mengkaji sedalamnya implikasi pembukaan semula kegiatan ekonomi tersebut.

“Kajian itu merangkumi sektor yang akan dibuka, bila dan sejauh mana mereka akan dibenarkan untuk beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan di Kuching.

Beliau menegaskan, Sarawak telah memutusan untuk mematuhi semua arahan bagi mengekalkan status quo dan semua arahan yang diumumkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1, 2 dan 3.

“Bagi tujuan ini, JPBN bermaksud untuk membuat keputusan setelah mengkaji perubahan pada peraturan dalam Akta 342 sesuai dengan pengumuman oleh Perdana Menteri.

“Justeru, JPBN mesti memastikan pembukaan semula aktiviti dan sektor ekonomi sesuai dengan keadaan di negeri ini.

“Ia adalah dengan mengambil kira keadaan setempat Sarawak dari segi kes Covid-19, kemampuan logistik, keupayaan Jabatan Kesihatan dan keadaan geografinya,” ujar beliau.

Sehubungan itu, jelas Uggah, JPBN mendapati banyak standard pematuhan pembukaan semula kegiatan ekonomi tidak kondusif di negeri ini.

Tambah beliau lagi, Sarawak akan mengumumkan secara berperingkat pembukaan semula sektor ekonomi dan aktiviti yang lain.

“Hal ini akan dilakukan setelah setiap perincian prosedur dan garis panduan operasi standard dikaji.

“Selain itu, bagi mereka yang telah mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pada PKP ke-4, mereka diperlukan untuk mendapatkan persetujuan Kerajaan Negeri melalui JPBN agar permohonan mereka disemak sebelum mereka dibenarkan beroperasi,” katanya.

Terdahulu pada Jumaat, Perdana Menteri pada perutusan sempena sambutan Hari Pekerja mengumumkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di Malaysia akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan SOP yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bermula 4 Mei 2020.