Malaysia Dateline

Sarawak ambil langkah berbeza, tidak laksanakan PKP

Sarawak mengambil langkah berbeza daripada keputusan kerajaan Persekutuan dengan tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini.

Sebaliknya, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, pihaknya hanya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang telah pun disambung sejak 7 Mei hingga 17 Jun depan.

“Keputusan PKPB ini dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa bersetuju untuk terus melaksanakan ‘circuit breaker’ yang sedia ada.

” Bagaimanapun, kita akan lebih memperketatkan lagi syarat-syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada, ” tegas JPBN dalam satu kenyataan.

Jelasnya, antara SOP yang diperketatkan ialah tidak membenarkan restoran, kedai makan, bistro, kafe, gerai makanan dan minuman beroperasi secara ‘dine-in’ (makan di kedai).

“Malah, aktiviti pembekalan atau penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran sahaja.

“Ini kerana, kita mahu mengenal pasti beberapa langkah yang perlu diambil oleh premis-premis berisiko tinggi dalam menyebarkan wabak COVID-19 yang dijana melalui sistem amaran awal Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE),” tambah JPBN lagi.