Malaysia Dateline

Sarawak belum benarkan muzik cafe, kelab malam dan bistro beroperasi

Sarawak membuat keputusan bahawa muzik kafe, kelab malam dan bistro belum lagi dibenarkan beroperasi di negeri ini

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, terdapat beberapa kekeliruan dan salah faham yang menganggap bistro adalah sebagai restoran.

Justeru, katanya JPBN telah memutuskan mana-mana premis yang dinamakan bistro tidak dibenarkan beroperasi setakat ini

Bistro cannot be open, fullstop. Kami memohon maaf kepada pemilik bistro. Kelab malam juga tidak dibenarkan beroperasi, sekiranya kamu ke sana, kamu akan ditangkap,”kata beliau.

Uggah turut menegaskan tindakan akan diambil ke atas pemilik premis perniagaan sekiranya didapati tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Jelasnya lagi, tindakan berupa amaran dan penutupan premis akan dikenakan kepada pemilik kedai, syarikat dan pasaraya yang tidak mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Kita berharap semua yang telah diberi peluang membuka kegiatan ekonomi supaya mematuhi SOP yang telah ditentukan.

“Ini adalah untuk menentukan bahawa penjarakan sosial, kebersihan diri dapat diamalkan. Dengan itu kita harapkan dapat mengelakkan merebaknya virus ini,” katanya.

Semalam, Sarawak terus merekodkan sifar kes positif Covid-19 untuk hari kelima berturut-turut dengan jumlah kes positif kekal sebanyak 544 kes.

Seramai empat kes telah sembuh dan discaj dari hospital direkodkan dengan tiga kes dari Hospital Umum Sarawak (HUS) dan satu kes dari Hospital Sibu.

Setakat ini, jumlah keseluruhan kes positif yang telah sembuh dan discaj adalah seramai 435 kes atau 79.96 peratus manakala seramai 19 orang disyaki (PUI) baru dilaporkan dan seramai 19 kes PUI masih menunggu keputusan makmal di seluruh negeri ini.