Malaysia Dateline

Sarawak benar spa, refleksologi, karaoke dibuka 27 Mac

Sarawak membenarkan operasi sektor spa, refleksologi, pusat urutan kaki dan karaoke beroperasi semula mulai 27 Mac ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, kebenaran beroperasi semula adalah sebagai usaha memulihkan ekonomi yang terjejas sepanjang penutupan operasi empat sektor berkenaan berikutan Covid-19.

Jelas JPBN, sebelum memulakan operasi, premis-premis ini dikehendaki mendapatkan kelulusan daripada pihaknya.

“Semua pekerja dan pengusaha mesti menjalani ujian swab untuk rt-PCR sebelum memulakan operasi.

“JPBN juga akan melakukan pemeriksaan berkala bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

” Dan garis panduan SOP bagi pembukaan sektor ekonomi ini boleh diperolehi dari laman web Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak (http:mlgh.sarawak.gov.my), ujar JPBN.

Sementara itu, Sarawak merekodkan sebanyak 141 kes baharu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini meningkat kepada 14,655 kes.

Jumlah kes harian tertinggi dikesan di Miri (34), diikuti Bintulu (27), Serian (25), Sibu (17), Samarahan (9), Kuching (8), Tebedu (6), Tanjung Manis (5), Sarikei (3) manakala Kanowit, Kapit, Meradong, Mukah, Selangau, Sri Aman dan Subis masing-masing satu kes.

Daripada 141 kes baharu yang dikesan, seramai 24 orang menunjukkan tanda dan gejala jangkitan semasa saringan dijalankan.

Manakala seramai 124 lagi kes terdiri daripada individu yang diberikan arahan perintah kuarantin di pusat kuarantin yang disediakan.