Malaysia Dateline

Sarawak benarkan 4 orang dalam sebuah kenderaan

Sarawak telah memutuskan untuk mengikut keputusan Kerajaan Persekutuan membenarkan sebuah kenderaan membawa empat orang penumpang.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, arahan terbaru itu akan berkuatkuasa serta-merta di negeri ini.

“Kerajaan telah memutuskan arahan baharu ini dan ia diwartakan sebagai undang-undang.

“Dengan ini, Sarawak akan mematuhi keputusan ini dengan sewajarnya,” katanya melalui satu kenyataan media.

Tambah Uggah, dengan keputusan itu, sebuah kenderaan dibenarkan membawa empat orang penumpang di negeri ini

Sebelum ini, pada Ahad Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media memaklumkan kerajaan membenarkan kenderaan persendirian membawa maksimum empat penumpang daripada keluarga dan rumah yang sama bermula 4 Mei.