Malaysia Dateline

Sarawak benarkan hanya lima individu solat di masjid

Hanya lima individu terdiri daripada ahli jawatankuasa surau dan masjid dibenarkan solat di masjid ketika solat fardu dan Jumaat di Sarawak.

Menurut kenyataan Majlis Islam Sarawak (MIS), arahan tersebut adalah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa hari ini sehingga 11 Jun depan.

“Standard Operasi Prosedur (SOP) pengimarahan masjid dan surau semasa PKP hanya membenarkan ahli jawatankuasa hadir semasa solat fardu dan Jumaat.

” SOP juga menetapkan ketika solat fardu, hanya lima orang terdiri daripada pegawai masjid dan jawatankuasa pengurusan masjid atau surau dibenarkan hadir dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter.” tegas MIS.

Untuk solat Jumaat pula, MIS memaklumkan hanya 15 orang terdiri daripada pegawai masjid dan jawatankuasa pengurusan masjid atau surau dibenarkan hadir dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter.

” Selain senarai tersebut, mereka tidak dibenarkan menunaikan solat di masjid atau surau berkuatkuasa sepanjang PKP dilaksanakan ini.

” Malah, pengimarahan masjid atau surau seperti ceramah, kuliah, kelas pengajian dan lain-lain turut ditangguh sementara,” kata MIS lagi.

MIS turut menekankan bahawa siaran langsung menerusi media sosial adalah tidak dibenarkan di masjid dan surau sepanjang penguatkuasaan itu.

Bagaimanapun, jelas MIS pengurusan jenazah yang tiada kaitan dengan Covid-19 dibenarkan di masjid dan surau.

Namun, kata MIS kehadiran adalah tidak melebihi sepuluh ahli waris dengan mematuhi penjarakan fizikal sambil kehadiran pengurusan jenazah adalah dibenarkan dengan bilangan yang sesuai.

“Turut dibenarkan ialah pengkebumian jenazah yang tiada kaitan dengan Covid-19 dengan kehadiran tidak melebihi sepuluh ahli waris dan petugas perkuburan dengan mematuhi penjarakan fizikal (1 meter)

“Di samping itu, kehadiran pengurusan tanah perkuburan juga dibenarkan dengan bilangan yang sesuai,” tambah MIS.

Sehubungan itu, MIS menegaskan semua SOP hendaklah dipatuhi seperti yang ditetapkan Lembaga Fatwa Negeri Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian(JPBB), Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Garis panduan ini boleh diubah atau dipinda dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan, “ujar MIS lagi.