Malaysia Dateline

Sarawak benarkan majlis berbuka puasa di hotel, restoran dan dewan

Sarawak membenarkan majlis berbuka puasa di hotel, restoran dan dewan sepanjang bulan Ramadan nanti.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kebenaran mengadakan majlis berbuka puasa di tempat terbabit hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

JPBN berkata, persetujuan kebenaran itu dibuat selepas menilai garis panduan SOP dibentangkan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bagi majlis berbuka puasa di tiga premis berkenaan.

“Namun pihak hotel, restoran dan dewan perlu mematuhi beberapa syarat yang dikeluarkan kementerian berkenaan menerusi JPBN.

“Syarat pertama ialah pengusaha hotel, restoran dan dewan wajib memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian masing-masing sebelum dibenarkan dibuka.

“Manakala, syarat lain pula tiada tempahan berbuka berkumpulan daripada agensi kerajaan dan swasta dan hanya terbuka kepada kumpulan individu serta ahli keluarga terdekat sahaja,” tegas JPBN dalam satu kenyataan.

Jelas JPBN, syarat lain yang tidak dibenarkan ialah secara tempahan dan ‘walk-in’ secara berkumpulan.

Malah, JPBN menegaskan pelanggan turut tidak dibenarkan menunggu dalam barisan dan hanya membuat pilihan melalui menu dan makanan dihidang di meja.

“Bilangan pelanggan hanya 50 peratus kapasiti restoran atau maksimum 300 orang untuk dewan dan hotel.

“Segalan garis paduan SOP terperinci boleh didapati di laman web Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak (MLGH) menerusi http://mlgh.sarawak.gov.my,” tambah JPBN lagi.