Malaysia Dateline

Sarawak benarkan pawagam dibuka serta merta

Sarawak membenarkan pawagam di seluruh negeri ini beroperasi semula serta merta yang mana Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah ditetapkan oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak.

Jawankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan antara SOP aktiviti pawagam ialah mewajibkan syarikat pawagam untuk menyediakan protokol operasi dan mengemukakan perancangan tersebut kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan meliputi pengawasan penyakit dan pencegahan penyebaran jangkitan, mengikut SOP ditetapkan.

“Syarikat pawagam turut ditegah tidak akan menerima pelanggan berusia 12 tahun dan ke bawah dan melebihi 60 tahun memasuki dewan tayangan,” kata JPBN dalam satu kenyataan.

Ujar kenyataan itu, syarikat pawagam mestilah menyediakan alat saringan suhu badan atau thermal scanner, pensanitasi tangan dan melaksanakan saringan bagi mengesan gejala berkaitan Covid-19.

“Ia adalah bagi mengesan sekiranya terdapat pelanggan atau dalam kalangan staf yang mengalami sindrom seperti deman, batuk, selesema, sakit tekak atau sesak nafas sebelum mereka memasuki premis,” jelas kenyataan itu lagi.