Malaysia Dateline

Sarawak benarkan Solat lima waktu, Jumaat mulai hari ini

Seluruh masjid dan surau di Sarawak dibenarkan untuk melaksanakan solat lima waktu bermula hari ini manakala solat Jumaat 12 Jun ini.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datu Misnu Taha berkata, bagaimanapun jumlah jemaah adalah terhad sejajar dengan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, sebanyak 406 buah masjid dan surau di seluruh negeri ini diberi kebenaran itu tetapi harus mengikuti jumlah yang ditetapkan.

“Masjid Jamek Negeri Sarawak dibenarkan untuk menampung 100 orang jemaah untuk Solat Jumaat, manakala untuk solat lima waktu, seramai 40 orang jemaah dibenarkan.

“Untuk Masjid Bahagian, Daerah dan Daerah Kecil, MIS membenarkan seramai 50 orang untuk Solat Jumaat dan 40 orang untuk solat lima waktu,” jelas beliau.

Manakala, katanya untuk Masjid Qariah, seramai 40 orang dibenarkan untuk Solat Jumaat dan solat lima waktu sementara bagi Surau Berjumaat, seramai 40 orang dibenarkan menunaikan Solat Jumaat, namun, hanya 20 orang jemaah dibenarkan dalam satu masa untuk solat lima waktu.

“MIS menetapkan seramai 20 orang jemaah sahaja untuk Masjid Kariah tanpa Jumaat dan surau.

“Ini satu peningkatan berbanding sebelum ini yang hanya membenarkan 12 orang jemaah untuk solat di masjid atau surau dan bilangan ini tidak termasuk Pegawai Masjid (Imam, Bilal dan Merbot),” ujar beliau lagi.

Pada masa sama tambah beliau, MIS menyerahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid dan Surau untuk membuat pemilihan jemaah.

“Kepada para jemaah yang hendak ke masjid untuk beribadah harus mengikuti prosedur pengendalian standard (SOP) yang telah ditetapkan sebelum ini,” katanya.