Malaysia Dateline

Sarawak benarkan taska, tadika dibuka mulai 17 Mei

Bermula 17 Mei ini , semua Taksa dan Tadika di seluruh Sarawak dibenarkan beroperasi dengan memastikan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

Menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata keputusan dibuat selepas merujuk kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Tegasnya, Kementerian beliau telah menerima 102 permohonan daripada Tadika swasta untuk beroperasi melibatkan 286 anak-anak yang mana ibu bapa mereka merupakan petugas barisan hadapan dan seramai 1,022 lagi merupakan anak-anak yang ibu bapanya berkhidmat dalam sektor perkhidmatan perlu.

“Kebenaran ini juga melibatkan 96 buah Institusi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (IPAKK) SEDIDIK dengan 251 anak-anak yang ibu bapanya adalah petugas barisan hadapan dengan 701 lagi anak-anak yang ibu bapanya bekerja dalam sektor perkhidmatan perlu, ” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Jelas Fatimah lagi, Sarawak memiliki sebanyak 1,087 PAKK KEMAS dengan 1,474 anak-anak petugas barisan hadapan dan 2,228 anak-anak pekerja sektor perkhidmatan perlu.

“Bagi IPAKK PERPADUAN ialah sebanyak 176 dengan 155 anak-anak petugas barisan hadapan dan 1,141 anak-anak pekerja sektor perkhidmatan perlu.

“Dan setakat ini terdapat 234 Taksa dan 2,795 Tadika yang telah berdaftar di negeri ini,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau berharap supaya semua pengusaha IPAKK memaklumkan kepada Kementeriannya melalui Bahagian Pembangunan Awal Kanak-kanak tentang pengoperasian IPAKK masing-masing melalui pautan berikut http://bit.ly/maklumatipakk bagi tujuan rekod dan pemantauan.

Sebelum ini, Perdana Menteri juga turut mengumumkan bahawa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa dari 12 Mei 2021 sehingga 6 Jun 2021, Pusat Asuhan Kanak-kanak, tabika, taska dan tadika dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan bagi membantu urusan kerja ibu bapa atau penjaga.