Malaysia Dateline

Sarawak bersetuju tambah penerbangan

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bersetuju dengan permintaan Airasia Berhad, Malindo Airways Sdn Bhd dan Penerbangan Malaysia Berhad (MAS) untuk menambah penerbangan keluar dan masuk Sarawak untuk tempoh Jun hingga Ogos ini.

Menurut kenyataan, keputusan dibuat setelah mempertimbangkan beberapa faktor seperti perkembangan situasi Covid-19 di negara ini yang semakin baik, keperluan untuk membangunkan semula ekonomi Sarawak terutamanya dalam bidang pelancongan dan akan memudahkan pergerakan barangan dan orang ramai bagi tujuan perniagaan, rasmi serta peribadi.

Kata kenyataan itu, sebagai rekod sebelum ini bilangan penerbangan yang dibenarkan oleh JPBN untuk kedua-dua haluan (Sarawak-Semenanjung Malaysia) semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya satu kali seminggu iaitu dari Kuala Lumpur ke Kuching dan Miri melalui MAS dan tidak ada syarikat penerbangan yang lain.

‚ÄúDengan permintaan yang semakin meningkat, beberapa syarikat penerbangan lain seperti Airasia dan Malindo mula mengikutinya dan beroperasi antara Kuala Lumpur dan Kuching satu kali seminggu sementara MAS menambah penerbangan menjadi tiga kali seminggu,” jelas kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu turut menjelaskan, bagi meningkatkan penerbangan dengan segera bagi sepanjang Jun ini, JPBN telah meluluskan penerbangan berjadual mingguan yang menghubungkan Sarawak ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Pulau Pinang, dan Kota Bahru.

“Manakala bagi Julai hingga Ogos depan, Malindo akan meningkatkan penerbangannya sebanyak dua kali sehari, Scoot akan menambah satu lagi penerbangan mingguan dari Singapura dan Airasia Berhad akan meningkatkan penerbangan mereka termasuk memasukkan Singapura dalam jadual perjalanannya,” ujar kenyataan itu.