Malaysia Dateline

Sarawak buka aktiviti ekonomi 12 Mei ini

Sarawak memutuskan untuk membenarkan aktiviti sektor ekonomi dibuka dan dibenarkan beroperasi mulai 12 Mei ini (Selasa) di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, prosedur standard operasi (SOP) pengoperasian telah disediakan dan sedang dimaklumkan kepada semua pihak yang terlibat dengan mengandungi aktiviti-aktivi dibenarkan dan aktiviti-aktiviti yang dilarang.

Katanya, untuk itu pihak terlibat yang berhasrat untuk membuka semula aktiviti-aktiviti ekonomi hendaklah memaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian masing-masing.

“Kita yakin arahan baru untuk membuka aktiviti sektor ekonomi bakal memberi kelegaan kepada rakyat selama ini yang telah terjejas punca pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu,” kata beliau.

Uggah menjelaskan, pihak penguatkuasaan seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, RELA akan menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan terhadap SOP.

Justeru, katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Pada masa sama, beliau menegaskan, perjalanan antara daerah masih belum dibenarkan dan pihak polis akan terus melakukan sekatan jalan raya.

“Perjalanan antara daerah tidak dibenarkan, polis akan terus melakukan sekatan jalan raya di negeri ini kerana kita mempunyai kawasan merah dan kawasan hijau.

“Maka dengan itu, kita mahu memastikan pergerakan orang ramai adalah minimum dari merah ke hijau atau kuning kerana dengan cara itu kita berharap dapat memutuskan rantaian Covid-19,” tambah beliau lagi.