Malaysia Dateline

Sarawak catat 2 kematian, 10 kes baharu Covid-19 hari ini

Sarawak mencatatkan dua lagi kes kematian akibat Covid-19 hari ini menjadikan jumlah mangsa meninggal dunia seramai tiga orang bagi negeri itu setakat ini.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, dua mangsa berkenaan merupakan ibu dan anak perempuan dari sebuah keluarga yang sama dengan masing-masing berusia 79 dan 40 tahun.

Kata kenyataan itu, mangsa pertama keluarga tersebut (ibu) meninggal dunia pada jam 2 pagi pada 18 Mac lalu di sebuah pusat perubatan swasta sementara mangsa kedua (anak) meninggal pada jam 1 petang hari ini di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Seorang lagi ahli keluarga yang diuji positif Covid-19 masih dalam rawatan di HUS sekali gus memerlukan bantuan pernafasan mekanikal dan sumber jangkitan masih lagi disiasat.

“Pemakluman kematian pertama akibat Covid-19 dari keluarga ini lambat diterima dari hospital swasta yang merawat kes kerana menunggu keputusan ujian makmal yang dihantar ke makmal swasta di Kuala Lumpur,” ujar kenyataan itu di Kuching petang ini.

Sementara itu, Sarawak telah merekodkan pertambahan 10 kes baharu positif Covid-19 hari ini dengan menjadikan 68 kes setakat ini sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac lalu.

Lima kes baharu ini dirawat di Hospital Sibu, tiga di HUS (termasuk dua yang meninggal hari ini) dan dua lagi di Hospital Bintulu.

Di samping itu, Sarawak juga merekodkan 37 kes baharu pesakit disyaki Covid-19 menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 751 kes.

Daripada jumlah ini, sebanyak 711 kes adalah negatif dan 40 kes orang disyaki masih menunggu keputusan makmal.

Jawatankuasa dalam pada itu menyeru semua fasiliti kesihatan dan perubatan swasta agar melaporkan semua kes orang disyaki dan disahkan Covid-19 kepada Pejabat Kesihatan Bahagian berhampiran pada kadar segera.