Malaysia Dateline

Sarawak catat 407 kes baharu Covid-19 tertinggi

Sarawak mencatat peningkatan kes positif Covid-19 dengan rekod 407 tertinggi semalam sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kepada 13,820.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataan media berkata, pertambahan kes positif itu dikesan di Daerah Serian (140), Sibu (65), Miri (49), Betong (40), Bintulu (26), Sri Aman (23), Kuching (19), Samarahan (11), Kapit (10), Song (6), Subis (5), Meradong (4), Lundu (3), Julau (2), Kanowit (2), Dalat (1) dan Limbang (1).

Kata kenyataan itu, daripada 407 kes baharu yang dilaporkan, seramai 28 orang telah menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan semasa saringan dijalankan.

“161 kes dilaporkan dikesan menerusi individu yang disaring melalui pengesanan kes secara aktif kontak kepada kes positif dan 15 daripada menunjukkan mereka bergejala.

“Manakala, terdapat 221 kes merupakan saringan individu dalam kluster aktif sedia ada dengan lima orang bergejala manakala enam kes dilaporkan merupakan saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan.

JPBN memberitahu 19 kes merupakan lain-lain saringan di fasiliti kesihatan dengan dua orang bergejala.

“Daripada 407 kes yang dicatat hari ini, 138 adalah melibatkan tahanan di Depo Imigresen Semuja, Serian.

“Kawasan ini adalah kawasan terkawal dan tertutup. Kesemua mereka telah diletakkan di PKRC Depo Tahanan Semuja, Serian.

“Kesemua punca jangkitan ini masih belum dikenal pasti dan Jabatan Kesihatan Malaysia (JKM) akan menyiasat dan mengesan kontak rapat kepada kesemua kes berkenaan.

Pada masa sama, JPBN turut memaklumkan kes di Sibu, Betong, Kuching, Bintulu dan Kapit telah menunjukkan trend penurunan dalam minggu ini.