Malaysia Dateline

Sarawak catat 8 lagi kes positif Covid-19 hari ini

Sarawak terus mencatatkan pertambahan lapan lagi kes baharu positif Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah bilangan kes ialah sebanyak 76 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020 di negeri ini.

Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, tujuh kes baharu itu dirawat di Hospital Umum Sarawak dan satu kes di Hospital Miri.

Jelas kenyataan itu, sebanyak 44 kes baharu orang disyaki jangkitan Covid-19 yang dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 795 kes.

“Sekiranya mana-mana Hospital Swasta yang mendapati seseorang pesakit yang disyaki menghidap penyakit Covid-19 hendaklah
menghantar pesakit tersebut ke mana-mana empat Hospital Khas Covid-19 di Sarawak iaitu Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu, Hospital Bintulu dan Hospital Miri,” tegas kenyataan itu di Kuching petang ini.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak telah bermesyuarat hari ini dan memutuskan bahawa bermula 24 Mac 2020, semua Kedai Runcit, Restoran, Kopitiam, Stesen Minyak, Hypermarket, Supermarket dan Klinik Swasta yang beroperasi 24 jam hanya dibenarkan beroperasi dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam di negeri ini.

“Semua Hypermarket, Supermarket, Farmasi dan Klinik Swasta hendaklah mengamalkan penjarakan sosial (Social Distancing) di
premis masing-masing dan pihak Polis akan sentiasa memantau situasi tersebut.

“Mereka juga disarankan untuk memeriksa suhu badan dan memastikan penggunaan hand sanitizer diamalkan,” kata kenyataan itu lagi

Pada masa sama, Sekretariat turut memaklumkan tempat saringan COVID-19 di Hospital Umum Sarawak telah dipindahkan ke Kompleks Belia dan Sukan.

“Tempat tersebut dibahagikan kepada dua bahagian iaitu pertama kepada seseorang yang tidak mempunyai tanda-tanda tetapi mempunyai kontak rapat dan bahagian kedua adalah untuk mereka yang mempunyai kotak rapat dan mempunyai tanda-tanda seperti demam, batuk dan kesukaran bernafas,” ujar kenyataan itu.