Malaysia Dateline

Sarawak catat dua lagi kes baharu disyaki COVID-19

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengesahkan telah merekodkan dua lagi kes baharu orang yang disyaki (PUI) COVID-19 di Sarawak semalam.

Menurut Kenyataan Sekretariat hari ini, satu kes direkodkan di Hospital Umum Sarawak manakala satu lagi kes di Hospital Miri.

“Kes tersebut melibatkan warga Malaysia. Dengan ini, ia menjadikan kes PUI di Sarawak dari 10 Januari sehingga semalam kepada 99 kes,” jelasnya.

Kata kenyataan itu lagi, majoriti 76 kes melibatkan rakyat Malaysia, 20 warga China, seorang warga Thailand, seorang warga Indonesia dan seorang warga Kanada.

“Namun, sebanyak 92 kes dibuktikan negatif selepas menjalani ujian makmal, sementara tujuh lagi kes masih menunggu keputusan,” ujarnya.

Sebagai rekod, setakat 12 tengah hari pada Selasa, Jabatan Kesihatan Negeri telah mengimbas seramai 11,761 pelawat yang tiba di beberapa lapangan terbang, pintu masuk darat dan laut di seluruh negeri, menjadikan jumlah diimbas ialah 131,292 orang sejak 1 Februari.