Malaysia Dateline

Sarawak catat kes pertama kematian penyakit anjing gila

Kes pertama kematian pertama bagi tahun ini direkodkan berkaitan penyakit anjing gila atau rabies encephalitis, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pagi ini.

Mangsa merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dari Bandar Sibu, Sarawak yang sebelum ini diserang dan digigit oleh anjing liar pada 8 Mac lalu di bahagian muka, mulut dan kelopak mata.

“Walau bagaimanapun, luka gigitan tersebut tidak dicuci dengan aliran air bersih dan sabun sejurus selepas kejadian.

“Beliau kemudiannya telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sibu pada hari yang sama,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Kes tersebut merupakan kes ke-23 bagi wabak rabies Sarawak yang diisytiharkan sejak 31 Julai 2017 dengan kes terakhir di negeri itu pada 8 November 2019.

Menurut Dr Noor Hisham, mangsa terbaru itu sebelum ini pernah mendapat suntikan vaksin anti-tetanus, suntikan Rabies Immunoglobulin (RIG) dan dua dos suntikan vaksin anti-rabies semasa dirawat di Hospital Sibu.

Pada 13 Mac lalu, kanak-kanak itu telah dibenarkan pulang dari wad dalam keadaan sihat disusuli dengan pengambilan dos ketiga vaksin anti-rabies pada 16 Mac lalu.

Walau bagaimanapun, jelasnya, mangsa telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di sebuah Klinik Komuniti di Bandar Sibu kerana demam pada 24 Mac lalu.

Keesokannya, beliau ke Hospital Sibu kerana sakit tekak dan sukar untuk menelan air serta berhalusinasi.

“Beliau telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut. Keadaannya bertambah teruk dan telah disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya. Punca kematian adalah rabies encephalitis,” ujarnya.

Dr Noor Hisham memberitahu sampel daripada kanak-kanak tersebut telah diambil pada 26 Mac lalu dan disahkan positif rabies oleh Makmal Perubatan, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 29 Mac lalu.

“Anjing liar yang mengigitnya juga dilaporkan telah mati pada 10 Mac 2020 namun tiada sampel yang diambil,” tambahnya lagi.