Malaysia Dateline

Sarawak digesa terima cadangan jual ekuiti kepentingan Petronas

Pengerusi DAP Sarawak,Chong Chieng Jen menggesa agar Kerajaan Negeri Sarawak menerima cadangan bagi menjual ekuiti kepentingan dalam syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) kepada negeri-negeri pengeluar minyak dan gas di negara ini.

Justeru,katanya,dengan cadangan itu,pihak kerajaan negeri saharusnya merebut peluang bagi memiliki sebahagian daripada ekuiti Petronas sekali gus menjaminkan pendapatan lumayan pada masa akan datang.

“Sarawak harus mengambil peluang ini bagi menambahkan pendapatan kerana cadangan menjual ekuiti kepentingan Petronas dari Kerajaan Persekutuan adalah satu langkah yang tepat.

“Ini adalah satu cadangan yang baik kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah kerana Petronas mempunyai hasil bukan hanya datang dari kedua-dua negeri ini malah dari operasi seluruh dunia.

“Dan jumlah yang akan diraih oleh kedua-dua negeri sekiranya ada 20 peratus atau lebih dalam pegangan Petronas, ia akan menjaminkan pendapatan yang amat lumayan pada masa hadapan,” katanya ketika hadir pada Majlis Perasmian Jerayawara Kepenggunaan dan Pesta Semeba di Kuching malam tadi.

Chong yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)memberitahu, Sarawak tidak harus menolak cadangan itu kerana ia memberi sumber pendapatan kepada Sarawak dalam jangka masa panjang.

Katanya lagi,Petronas telah mempunyai rekod yang baik di samping berupaya mencatatkan keuntungan yang tinggi.

“Dengan demikian,Sarawak juga berpeluang untuk memiliki pegangan dalam syarikat yang terbaik ini sekali gus bakal memberi sumber pendapatan jangka panjang kepada negeri ini,” ujarnya.

Sehubungan itu,beliau berharap Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg tidak menolak cadangan tersebut sepert ketika menolak tawaran Pakatan Harapan(PH) Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu berhubung 20 royalti dan pemberian semula 50 peratus hasil kutipan cukai kepada negeri ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan telah berkata, Kerajaan Pusat menimbang untuk menjual kepentingan Petronas kepada negeri yang mana terletaknya lapangan minyak dan gas syarikat minyak berkenaan.

Katanya, langkah sedemikian akan memberi peluang kepada negeri seperti Sarawak dan Sabah untuk terbabit sama dalam pengurusan Petronas, iaitu syarikat pengeksport cecair gas asli ketiga terbesar di dunia.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan tidak dapat memenuhi tuntutan royalti sebanyak empat kali ganda oleh negeri pengeluar berkenaan yang bersamaan 20 peratus keuntungan syarikat.

Sementara itu, Sabah dan Sarawak mempunyai rizab minyak dan gas yang paling produktif di Laut China Selatan.

Permintaan kedua-dua negeri ini untuk meningkatkan royalti boleh menyebabkan Petronas membayar sehingga AS$7 bilion (RM29.15 bilion) setahun.

Unit saham tersenarai utama syarikat itu adalah pembuat petrokimia, Petronas Chemicals Group, Petronas Dagangan dan infrastruktur gas dan utiliti, Petronas Gas manakala Petronas Carigali adalah unit penerokaannya.