Malaysia Dateline

‘Sarawak first’ hilang selepas GPS bersama PN, kata DAP Sarawak

Selepas 22 bulan melaungkan slogan ‘Sarawak First’, Kerajaan Negeri Sarawak kini seolah-olah ‘kecut’ sejak bersama-sama dengan Bersatu, Umno, Pas, MIC, MCA dan beberapa parti kecil bagi membentuk Kerajaan Perikatan Nasional Mac lalu.

Justeru, Pembantu Pengerusi DAP Sarawak Brolin Nicholsian mempersoalkan sama ada Kerajaan Negeri Sarawak masih berminat memperjuangkan rakyat di negeri ini memandangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah sebahagian daripada pemerintahan Perikatan Nasional.

Beliau berkata, selepas hampir lima bulan GPS bersama PN, kini tidak lagi kedengaran bahawa kerajaan negeri lantang memperjuangkan autonomi dan hak Sarawak ke peringkat persekutuan.

“Adakah Kerajaan GPS takut untuk mempersoalkan Tanah Melayu mereka dan melupakan slogan Sarawak First?

“Dan adakah Kerajaan Sarawak masih berminat untuk memperjuangkan rakyat negeri ini kerana mereka adalah sebahagian daripada pemerintahan PN? Atau adakah GPS hanya anjing pelarian untuk Umno dan Pas,” soal Brolin dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, GPS sering melaungkan slogan ‘Sarawak First’ di setiap penjuru negeri ini yang bertujuan untuk rakyat Sarawak menolak parti-parti yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia.

Bahkan, sentimen ‘Ulun Malaya’ turut ditiupkan oleh pemimpin dan penyokong mereka setiap kali turun ke kawasan yang mana ketika itu Kerajaan Persekutuan adalah di bawah Pakatan Harapan (PH).

Tegasnya, GPS telah gagal melaksanakan dasar pertama iaitu pembinaan projek perintis ART dan lapangan terbang luar bandar seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Malah, tambah beliau lagi, ramai rakyat yang masih menunggu Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) hingga ke hari ini.

“Selain itu, masih ramai lagi rakyat menunggu Kenyalang Gold Card (KGC) mereka apabila ada yang menjangkakan akan mendapatkannya sekitar Mac,” kata beliau yang juga merupakan Pemangku Ketua Cawangan DAP Serian.