Malaysia Dateline

Sarawak gesa KPM ubah kaedah pengajaran

Kerajaan Negeri Sarawak menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya menyesuaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran selaras dengan norma baharu akibat pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing berkata, saranan ini penting bagi mengelak lebih ramai pelajar khusunya di luar bandar menghadapi kekangan perkhidmatan internet dalam menjalani sesi pembelajaran mereka.

Jelas beliau, pandemik Covid-19 telah mengganggu pendidikan generasi masa kini serta ditambah lagi dengan pelaksanaan Prosedur operasi standard (SOP) dikuatkuasakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), banyak kali menyekat pelajar ke sekolah.

“Hakikatnya, pada tahun lalu (2020) banyak masa persoalan terbuang begitu sahaja terutamanya kepada pelajar di luar bandar yang tiada perkhidmatan internet.

“Namun sekiranya pandemik ini berjaya dibendung, maka pembelajaran pada 2021 adalah menjadi pengulangan bagi tahun ini dari aspek pendidikan.

“Justeru, KPM harus mencari cara untuk menggantikan masa-masa pengajaran dan pembelajaran yang ‘hilang’ sebelum ini,” tegas Masing dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, KPM seharusnya tidak boleh meneruskan apa yang telah dilakukan sebelum ini, iaitu melaksanakan tiga cuti penggal persekolahan setahun termasuk cuti-cuti umum.

“Dengan ini, KPM hendaklah mengurangkan jumlah cuti penggal persekolahan dan tempoh cuti yang akan dilaksanakan nanti kerana pandemik ini bukan situasi yang biasa dan KPM mesti mengubah atau menyesuaikan semula jadual cuti mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau melahirkan rasa kecewa apabila mengetahui KPM masih bertindak seperti situasi normal dengan mengikut jadual cuti penggal dalam kalendernya.

“Saya berasa kecewa apabila KPM belum dapat menyesuaikan diri dengan norma baharu pemikiran sekali gus mengakibatkan anak-anak kita akan terhenti untuk tahun mendatang nanti,” tambahnya.