Malaysia Dateline

Sarawak gesa Persekutuan kecualikan SST ekoran Kawalan Pergerakan

Parti Sarawak Bersatu (PSB) menyarankan supaya Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi jangka masa panjang ekoran situasi ekonomi yang sukar ketika ini akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi satu kenyataan di Kuching hari ini, parti itu berkata, pengenalan pakej rangsangan kedua amat diperlukan termasuk pengecualian SST.

PSB menegaskan, SST adalah cukai peringkat tunggal yang dikenakan ke atas kos akhir produk dan pengurangan cukai bakal memperbaiki situasi perniagaan serta meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

“SST memberi kesan kepada kumpulan berpendapatan rendah walaupun mereka tidak dikenakan cukai pendapatan namun masih perlu membayar SST walaupun pendapatan mereka sifar.

“Pengurangan atau pengecualian dari SST bagi barang tertentu akan memberi manfaat kepada kumpulan pendapatan rendah yang amat memerlukan bantuan dalam krisis yang belum pernah terjadi sebelumnya ini,” jelasnya.

Sebagai rekod, pada tahun lepas kerajaan mengumpul RM27.5 bilion daripada hasil SST dengan nilai lebihan disasarkan sebanyak RM22 bilion.

SST dilaksanakan di Malaysia pada 1 September, 2018 menggantikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Kadar cukai standard 10 peratus dikenakan di bawah SST manakala hanya enam peratus di bawah GST.

Justeru, katanya, pengurangan kadar SST akan membantu rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah semasa situasi ekonomi sukar sekarang.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin mengumumkan negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari bermula Rabu (18 Mac) hingga 31 Mac 2020 bagi mengekang penularan COVID-19 di negara ini.

Di bawah Perintah Kawalan Pergerakan semua premis perniagaan dan pejabat kerajaan ditutup sementara kecuali yang menawarkan perkhidmatan penting.

Kedai makan dan minuman dibenarkan beroperasi tetapi hanya menjual untuk makanan dibawa pulang sahaja.