Malaysia Dateline

Sarawak kecualikan penjawat awam, ahli perniagaan dikuarantin

Sarawak akan membuat pengecualian kuarantin bagi penjawat awam dan ahli perniagaan yang masuk ke Sarawak berkuat kuasa serta merta sehingga 31 Ogos.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN)Sarawak memberitahu, penjawat awam dan ahli perniagaan yang datang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, perlu menunjukkan QR Code pengecualian melalui ‘enterSarawak’ atau membawa bersama surat Arahan Rasmi Bertugas dan perlu mengisi e-HDF.

Kata JPBN, semua yang terbabit diwajibkan untuk diambil sampel (swab) serta tidak akan dipasang gelang kuarantin (wristband) selain tidak akan dikuarantin.

“Kepada penjawat awam dan ahli perniagaan yang kerap berulang alik dari Semenanjung, Sabah, dan Labuan ke Sarawak dan sebaliknya, mereka akan diambil sampel sekali dalam dua minggu.

“Namun, bagi urusan rasmi yang tidak melebihi dua hari di negeri ini tidak perlu diambil sampel,” jelas JPBN dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, tegas JPBN lagi bagi penjawat awam dan ahli perniagaan yang balik bercuti, mereka akan dikuarantin di rumah atau hotel dan perlu diambil sampel.

“Untuk kemasukan menerusi Lapangan Terbang Sibu, Bintulu dan Miri, penjawat awam dan ahli perniagaan hendaklah menunjukkan QR Code pengecualian melalui ‘enterSarawak’ atau membawa bersama surat Arahan Rasmi Bertugas dan perlu mengisi e-HDF.

“Mereka tidak akan dipasang ‘wristband’dan tidak akan dikuarantin serta perlu mengambil sampel COVID-19 pada keesokan harinya di Klinik Kesihatan yang berhampiran,” ujar JPBN.