Malaysia Dateline

Sarawak kuatkuasa PKPB di tiga zon bermula tengah malam ini

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)akan dikuatkuasakan di tiga zon merah melibatkan Kuching, Sibu dan Miri bermula tengah malam ini (13 Januari 2021).

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, PKPB itu akan dilaksanakan bermula 13 hingga 26 Januari 2021 iaitu selama 14 hari.

Menurut JPBN, Zon Kuching merangkumi Kuching, Samarahan dan Serian, Zon Sibu melibatkan Sibu dan Sarikei manakala Zon Miri merangkumi Daerah Miri.

“JPBN telah menilai situasi ini dengan mengambil kira kes jangkitan tempatan yang direkodkan di Sarawak iaitu sebanyak 209 kes dalam tempoh 14 hari yang lepas khususnya di tiga zon terbabit.

“Maka, dengan itu JPBN mengambil keputusan untuk menguatkuasakan PKPB bagi Kuching, Sibu dan Miri bermula 13 hingga 26 Januari ini,” tegas JPBN.

Dengan penguatkuasaan itu, JPBN berkata pergerakan rentas negeri dari Semenanjung, Sabah dan Labuan tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran daripada polis.

“Pergerakan rentas zon dalam negeri Sarawak turut tidak dibenarkan melainkan mendapat kebenaran daripada polis.

“Manakala kemasukan ke negeri Sarawak akan dikenakan kuarantin selama 14 hari di Pusat Kuarantin yang diperakui oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak,” tambah JPBN lagi.