Malaysia Dateline

Sarawak laksana pengesanan kes aktif Covid-19 di Kota Samarahan

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPNN) Sarawak telah melaksanakan Pengesanan Kes Aktif (Active Case Detection) di dua kawasan iaitu di Taman Desa Ilmu dan Taman Uni Garden, Kota Samarahan bermula semalam.

Dalam satu kenyataanya menjelaskan, aktiviti pengesanan berkenaan dilaksanakan untuk mencegah dan mengawal termasuk mengesan kes secara aktif, mengesan kontak rapat kepada kes positif serta menjalankan saringan ujian Covid-19.

Kata kenyataan itu, kawasan tersebut dipilih kerana terdapat 20 kes telah dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas yang mana telah melibatkan dua kematian direkodkan.

“Ini menunjukkan bahawa virus ini masih menular dalam kawasan tersebut.Justeru strategi yang lebih agresif perlu diambil bagi memutuskan rantaian dan penularan virus secara lebih berkesan.

“Operasi bersepadu ini merupakan yang pertama yang dijalankan di Sarawak dan melibatkan sebanyak 5,300 buah rumah di dua kawasan terbabit,” tegas kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, operasi tersebut diketuai oleh Residen Samarahan dan dianggotai oleh 120 petugas dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).